Isnin, 25 March 2019 | 12:36am
PEMAIN Wales, Daniel James (kanan) diasak pemain Slovakia, Albert Rusnak. - Foto Reuters

James wira Wales atasi Slovakia

CARDIFF, United Kingdom: Daniel James muncul wira Wales dalam kemenangan 1-0 ke atas Slovakia pada aksi pembukaan kempen kelayakan Euro 2020 di Cardiff sebentar tadi.

Pemain sayap Swansea itu, memulakan perlawanan kompetitif buat pertama kali untuk Wales, meledak seawal minit kelima yang dipertahan tuan rumah sehingga tamat permainan.

Pengendali Wales, Ryan Giggs melakukan 11 pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Trindad dan Tobago 1-0 dalam aksi persahabatan Rabu lalu, dengan penyerang utama Gareth Bale memakai lilitan kapten selepas Ashley Williams direhatkan.

Slovakia, sebaliknya mengekalkan skuad yang menewaskan Hungary 2-0 pada aksi kelayakan pertama Khamis lalu.

Harry Wilson dan David Brooks mencetus gerakan dari sayap kanan namun hantaran Brooks dipintas pertahanan Slovakian Peter Pekarik. Bagaimanapun bola di kaki Pekarik dirampas James yang kemudian merembat melepasi penjaga gol Martin Dubravka.

Wales hampir menambah jaringan pada minit ke-21 namun rembatan Brooks tersasar ke sisi gawang.

Brooks sekali lagi hampir menjadikan kedudukan 2-0 menerusi gerakan solo tetapi selepas menewaskan dua pertahanan, rembatan susulannya tersasar.

Peluang terbaik Slovakia hadir di babak kedua apabila Albert Rusnak berdepan satu lawan satu dengan Wayne Hennessey tetapi penjaga gol Wales itu berjaya menampan percubaannya. – AFP

Berita Harian X