Isnin, 25 March 2019 | 2:33pm
Jurulatih England, Gareth Southgate. - Foto AFP

Ujian sebenar di Montenegro - Southgate

LONDON: Selepas dihujani sorakan padu di Wembley ketika menewaskan Republik Czech 5-0, jurulatih England, Gareth Southgate menjangkakan skuad mudanya akan mengharungi 90 minit yang lebih ‘ganas’ bagi aksi kedua kelayakan Euro 2020 di Montenegro.

Pasukan daripada rantau Balkan itu sebelum ini sentiasa memberikan laluan getir buat England di gelanggang sendiri justeru Southgate cukup mengerti ia akan berulang bagi aksi Kumpulan A di Podgorica, awal pagi ini.

Southgate berkata dia mempercayai kemampuan skuad mudanya mengawal situasi berkenaan tetapi perlawanan itu turut menjadi proses pembelajaran yang baik.

“Tiada keraguan,” kata Southgate ketika ditanya sama ada akan menyenaraikan pemain muda seperti Jadon Sancho, 18, Declan Rice dan Callum Hudson-Odoi bagi aksi berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran mereka dan untuk menjadi pasukan terbaik kamu perlu mengadaptasi setiap suasana yang kami harungi.

“Jumaat di Wembley sentiasa memberikan pengalaman yang berbeza daripada pergi ke tempat lawan dalam aksi kelayakan, yang kebiasaannya sentiasa sukar.”

Tanpa kelibat Eric Dier yang mengalami kecederaan, ia bermakna Rice yang beraksi untuk West Ham dan memperoleh penampilan sulung bersama England, Jumaat lalu boleh disenaraikan bagi mengemudi bahagian tengah.

“Pasukan ini akan memanfaatkan setiap pemain yang kami ada di sini dan saya fikir kami akan membariskan pasukan yang amat kuat,” kata Southgate.

Montenegro sebelum ini mengikat England dalam perlawanan kelayakan di gelanggang sendiri pada 2010 dan 2013 tetapi pengurusnya, Ljubisa Tumbakovic mendakwa dia tidak dapat melihat sebarang kelemahan dalam skuad Southgate.

Sebagai rekod, England hanya menang sekali daripada empat pertemuan dengan Montenegro iaitu ketika menang 4-1 di Wembley pada 2013. - REUTERS

Berita Harian X