Selasa, 26 March 2019 | 7:40am
Penyerang England, Raheem Sterling (tengah, kanan) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Montenegro, Mirko Ivanic dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Podgorica City, di Podgorica, Montenegro. - Foto AFP

England terus pamer aksi 'lima bintang'

PODGORICA, Montenegro: England meneruskan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020 apabila melakar kemenangan bergaya 5-1 terhadap Montenegro, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kemenangan skuad Three Lions itu dibayangi dengan dakwaan perkauman dengan Raheem Sterling meraikan gol kelima pelawat dengan menutup telinganya di hadapan penyokong tuan rumah.

"Cara terbaik untuk menutup mulut pengkritik (dan ya, saya maksudkan orang yang rasis)," kata Sterling menerusi akaun Twitter miliknya.

Pengurus England, Gareth Southgate memberitahu yang dia turut mendengar sorakan berbaur perkauman yang ditujukan terhadap Danny Rose dan berjanji akan membuat laporan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenai perkara itu.

"Saya mendengarnya dengan jelas ketika Danny Rose dilayangkan kad kuning pada minit akhir perlawanan.


Pengurus England, Gareth Southgate. - Foto AFP

"Kami akan pastikan perkara ini akan dilaporkan kepada UEFA kerana perkara seperti ini tidak boleh diterima. Kami perlu pastikan kami memberi sokongan kepada pemain kami," katanya.

Dalam aksi itu, England membuktikan mengapa barisan pemain yang dimiliki kali ini dilabel sebagai pilihan bagi menjuarai kempen Euro tahun depan biarpun terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Marko Vesovic minit ke-17.

Michael Keane kembali menyamakan kedudukan buat pelawat menerusi tandukan pada minit ke-30.


Michael Keane (kiri) menyamakan kedudukan buat pelawat menerusi tandukan pada minit ke-30. - Foto Reuters

Pemain England, Danny Rose (kanan) bersaing dengan pemain Montenegro, Zarko Tomasevic dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Podgorica, Montenegro. - Foto Reuters

Anak buah Southgate kemudian berpesta gol selepas itu menerusi dua jaringan Rose Barkley minit ke-39 dan 59, Harry Kane (71) dan Sterling (81).

Pemain muda England berusia 18 tahun, Callum Hudson-Odoi yang tidak pernah beraksi dalam kesebelasan utama Chelsea turut diberi kepercayaan membarisi kesebelasan skuad Three Lions selain Declan Rice, 20, yang turut membuat penampilan pertama.

"Dia menunjukkan prestasi yang menakjubkan. Kamu boleh lihat bakat dimilikinya dan dia perlu teruskan prestasi seperti itu," kata Southgate mengulas mengenai prestasi ditunjukkan Hudson-Odoi. - AFP

Berita Harian X