Selasa, 26 March 2019 | 3:04pm
Bintang muda England, Callum Hudson-Odoi dihadapan penyokong Montenegro. - Foto Reuters

Hudson-Odoi gesa UEFA bertindak

LONDON: Bintang muda England, Callum Hudson-Odoi menggesa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden perkauman di Montenegro.

Kemenangan 5-1 England ke atas Montenegro pada aksi kelayakan Euro 2020 di tempat lawan, awal pagi tadi dibayangi insiden perkauman apabila segelintir penyokong tuan rumah melaungkan bunyi-bunyian seperti monyet terhadap pemain Three Lions terutama Danny Rose.

Pengurus England, Gareth Southgate berkata dia turut mendengar ejekan yang disasarkan terhadap pertahanannya itu selepas dilayangkan kad kuning pada minit ke-90.

Hudson-Odoi yang beraksi bersama Chelsea mengesahkan perkara berkenaan dan menggesa supaya badan induk itu masuk campur.

“Saya tidak fikir yang diskriminasi perlu wujud di mana-mana,” kata Hudson-Odoi, 18, yang menjadi pemain kedua termuda  disenaraikan dalam kesebelasan utama England. 

“Kita semua adalah sama, kita perlu bermain permainan yang adil dan menikmati detik berkenaan tetapi apabila kamu mendengar perkara seperti itu daripada peminat, ia tidak betul, ia tidak boleh diterima.

“Saya berharap UEFA akan menangani perkara ini dengan sebaiknya kerana ketika saya datang ke sana, saya dan Rose dapat mendengarnya, mereka melaungkan 'ooh-ah', seperti monyet.

“Kami tidak tunduk, mentaliti kami kekal kuat. Harapnya Rose juga tidak apa-apa. Kami ada berbual dan membincangkan apa yang berlaku tetapi dia juga mempunyai mentaliti yang hebat, lelaki yang kuat.”

Hudson-Odoi turut mendedahkan bintang Manchester City, Raheem Sterling yang menjaringkan gol kelima England dan sentiasa lantang bersuara membabitkan perkauman memberinya nasihat bagaimana untuk mengatasi situasi berkenaan.

“Raheem sentiasa membantu,” katanya. “Dia bercakap dengan saya mengenainya dan berkata: ‘Dengar, jangan bimbang mengenainya, ia hanya bola sepak. Orang melakukannya, jelas mereka tidak patut ada ketika perlawanan tetapi kamu perlu kuat’.” - Agensi

Berita Harian X