Rabu, 27 March 2019 | 6:34pm
KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak hargai sokongan penyokong. - NSTP/Amran Hamid

Kedah berkobar jumpa JDT Jumaat ini

ALOR SETAR: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yakin motivasi tinggi yang dipamerkan oleh penyokong sebagai 'pemain ke-12' dapat melonjakkan semangat juang pemainnya apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Katanya, sokongan yang hebat dan berterusan di kalangan penyokong bakal menyumbang impak berkesan kepada pemainnya yang sedang gigih membuat persiapan rapi untuk pertembungan menentang pendahulu liga JDT itu.

"Saya kagum melihat kelab penyokong Kedah yang menunjukkan usaha bersungguh-sungguh mereka. Saya harap ianya menjadi strategi bersama untuk memburu kejayaan yang dicari apbila berhadapan JDT dan perlawanan seterusnya.

"Pemain kini kelihatan bersemangat menanti perlawanan menentang JDT ini dan kita boleh lihat mereka berada dalam suasana 'mood' yang terbaik dan inilah yang kita perlu teruskan,” katanya

pada majlis penyerahan bendera oleh Kelab Penyokong Kedah sempena kempen 'satu penyokong satu bendera' di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), di sini, semalam.

Aidil Sharin juga berharap pemainnya dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman.

"Kita tidak akan beri laluan mudah untuk mereka dan juga mana-mana pasukan di sini. Justeru, saya mahu semua pemain terus fokus dan beraksi sebagai satu pasukan untuk memburu kemenangan,” katanya.

Aidil bagaimanapun lega kerana semua pemain utamanya bebas dari sebarang kecederaan kecuali Azamuddin Akil dan Syawal Nordin yang masih belum pulih sepenuhnya untuk beraksi.

"Saya berharap Azamuddin akan dapat bersama pasukan satu atau dua bulan lagi bagi memperkuatkan pasukan. Cuma pemain pertahanan import, Renan Alves sahaja yang masih menunggu keputusan beraksi. Saya berharap kita dapat menggunakan pemain terbaik dalam perlawanan bertemu JDT kali ini." katanya.

Berita Harian X