Khamis, 28 March 2019 | 1:28pm
ALOR SETAR 10 JANUARI 2019. GAMBAR fail, pemain import pertahanan Kedah Renan Alves (kuning tengah) mengekang asakan pemain Kelantan dalam aksi perlawanan Pra-Musim di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, pada Januari lalu. - Foto ihsan KFA

Kedah bersedia tanpa Alves

ALOR SETAR : Kedah sekali lagi akan kehilangan khidmat pertahanan kental Renan Alves pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam esok.

Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara ini selepas dimaklumkan mengenai penggantungan membabitkan dua perlawanan Liga Super menentang Pahang pada 8 Mac lalu dan penggantungan tambahan pada perlawanan ketujuh menentang JDT. 

"Kami sudah menjangkakan perkara (penggantungan) ini dan kami juga telah melakukan segala persiapan sebelum ini  untuk berhadapan dengan situasi kemungkinan hal ini terjadi," kata Aidil.  

"Antara persiapan yang kami lakukan adalah mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan melalui program Jelajah Lembah Klang dua minggu lalu untuk mencari formula terbaik pada posisi berkenaan.

"Kami perlu memikirkan beberapa pilihan seperti pelan A dan pelan B untuk meneruskan perancangan sebagai usaha  memantapkan pasukan untuk berhadapan JDT kali ini.

"Saya yakin semua pemain bersedia dengan perancangan yang akan kita lalukan untuk berhadapan JDT dan kita lihat pemain bersungguh-sungguh melakukan persiapan sewaktu latihan yang diadakan sebelum ini."

 

Kedah terpaksa melupakan khidmat Alves sewaktu Kedah bertemu Pahang pada 8 Mac lalu selepas dia dilayangkan kad merah ketika perlawanan Kedah menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman 2 Mac lalu.

 

Berita Harian X