Khamis, 28 March 2019 | 8:10pm
Pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme (kanan) tidak akan beraksi di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, Sabtu ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pahang berlatih di padang tiruan hadapi FELDA United

KUANTAN: Penyerang berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme dan Saddil Ramdani tidak akan beraksi ketika skuad itu mengunjungi FELDA United FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, Sabtu ini.

Nwakaeme yang menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning manakala Saddil belum lagi bersama Tok Gajah selepas menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, setakat ini, pemain Indonesia berumur 20 tahun itu masih berada di negaranya dan dijangka tiba di Kuantan esok atau Sabtu ini.

"Oleh itu, Saddil mungkin tidak bersama Pahang bertemu FELDA United Sabtu ini kerana saya perlu menilai prestasi sebelum dia disenaraikan.

"Apa yang boleh saya sahkan ialah tiga import iaitu Safuwan Baharudin, Herold Goulon dan Jose Eduardo akan disenaraikan," katanya.

Bagi memastikan skuad Tok Gajah selesa bermain di padang tiruan, Dollah berkata, skuad itu menjalani latihan selama dua hari di padang sintetik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini.

Katanya, latihan itu juga untuk menyesuaikan diri beraksi di padang tiruan di STAR.

"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamerkan prestasi yang diinginkan selepas liga berehat selama tiga minggu.

"Tiga mata menjadi misi utama pasukan dan diharapkan ia tercapai untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga," katanya.

Berita Harian X