Jumaat, 29 March 2019 | 1:37am
Harry Kane ketika ditemui di luar Istana Buckingham selepas majlis penganugerahan pingat MBE. - Foto AFP
Harry Kane bersama pasangannya, Kate Goodland ketika ditemui di luar Istana Buckingham. - Foto AFP

Kane sedia 'keluar padang' bantah perkauman

LONDON: Kapten England, Harry Kane berkata dia akan menyokong tindakan rakan-rakan meninggalkan padang jika cemuhan berunsur perkauman masih berulang seperti kejadian yang berlaku ketika mereka menang di Montenegro.

Kesatan Bolasepak Eropah (UEFA) sudah memulakan siasatan selepas pemain England, Danny Rose, Raheem Sterling dan Callum Hudson-Odoi mengadu mereka menjadi mangsa ejekan perkauman di Podgorica.

Hudson-Odoi berkata, dia terdengar laungan suara seperti monyet oleh penyokong tuan rumah ketika England menang 5-1 dalam kempen Kelayakan Euro 2020 tempoh hari.

FA England menyambut baik tindakan diambil UEFA untuk melancarkan siasatan ke atas perlakuan perkauman segelintir penyokong Montenegro.

"Ia sangat teruk, tidak boleh diterima dan saya rasa pemain berjaya mengatasinya dengan baik dan sangat profesional dalam menanganinya untuk kekal fokus dalam permainan dan memberikan aksi terbaik mereka,” kata Kane kepada Sky Sports ketika ditemui di luar Istana Buckingham selepas majlis penganugerahan pingat MBE, sebentar tadi.

"Sekarang terpulang kepada pihak yang menyiasat kes itu untuk mengambil tindakan yang tepat kerana perbuatan itu langsung tidak dapat diterima dalam sukan bola sepak membabitkan semua peringkat kehidupan.”

Dintanya sama ada pemain England akan meninggalkan padang jika perbuatan seumpama itu berulang, Kane berkata: "Ya, saya akan menyokong tindakan rakan sepasukan saya jika ia berulang lagi dan jika ada rakan saya yang kecewa dengan perbuatan itu saya akan menyokong sepenuhnya tindakan mereka,” kata penyerang Tottenham Hotspur itu.

"Kami dalam sebuah pasukan, dalam satu unit yang menyatukan semua pemain. Saya berharap kejadian itu tidak berulang tetapi jika ia berlaku lagi, saya sendiri akan mengetuai meninggalkan padang seperti yang dimahukan dan saya menyokongnya.”

Panel Jawatankuasa Disipilin dan Etika UEFA akan memulakan sesi perbicaraan ke atas kejadian di Montenegro pada 16 Mei ini. – Reuters

Berita Harian X