Jumaat, 29 March 2019 | 10:39am
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP

Man City sambung misi di Fulham

LONDON: Misi Manchester City merakam 15 kemenangan berturut-turut dan memburu empat kejuaraan semusim bersambung dengan kunjungan ke Fulham esok.

Pengendali City Pep Guardiola dilihat cuba untuk meringankan tekanan dengan tidak bercakap banyak tentang misi menyapu bersih semua trofi, tetapi tidak dapat lari daripada hakikat yang baki dua bulan terakhir ini akan menentukan kemampuan pasukannya mencatat sejarah baharu itu.

Dengan Piala Liga sudah dalam genggaman, juara Inggeris itu masih di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara serta Piala FA.

Deretan 19 kemenangan dalam 20 perlawanan terakhir meletakkan City dalam kedudukan terbaik untuk memenangi semua pertandingan, dan rehat perlawanan antarabangsa selama dua minggu hadir tepat pada masanya bagi dia mengecas semula kecergasan skuadnya.

Pemain yang sudah berusia seperti Sergio Aguero, David Silva dan Fernandinho tidak lagi bersama skuad kebangsaan Argentina, Sepanyol dan Brazil. Manakala pertahanan kental City musim ini Aymeric Laporte terus tidak dipedulikan pengendali Perancis Didier Deschamps.

Tempoh rehat itu juga memberi ruang buat Kevin de Bruyne, Vincent Kompany, Nicolas Otamendi, John Stones, Fabian Delph dan Benjamin Mendy pulih daripada kecederaan masing-masing.

Pemain-pemain utama seperti Ilkay Gundogan, Leroy Sane dan Bernardo Silva pulang daripada tugasan antarabangsa tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu prestasi cemerlang Raheem Sterling di peringkat kelab berterusan di pentas antarabangsa di mana di meledak empat gol untuk England ketika bertemu Republik Czech dan Montenegro.

Fulham pula berdepan cabaran berbeza apabila baki saingan musim ini adalah penentu kedudukan kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.

Skuad kendalian Scott Parker berada 13 mata di bawah garis selamat dan bekas pemain tengah Chelsea itu sedar tugasan berat menanti mereka esok.

“Saya rasa kita semua faham cabaran yang bakal dihadapi, mereka adalah pemain-pemain hebat dan pasukan yang mantap, dan pengendalinya antara yang terbaik,” kata Parker. – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X