Sabtu, 30 March 2019 | 1:11am
Pemain Liverpool, Mohamaed Salah (kiri) dan pemain Spurs, Harry Kane.

Spurs mampu bikin Liverpool gigit jari

KOLUM APA KATA EPL

SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi selepas rehat dua minggu bagi memberi laluan kelayakan Euro 2020 dan aksi persahabatan antarabangsa. Bagi yang mungkin terlupa, minggu ini adalah perlawanan ke-31 liga.

Ini bermakna ada baki tujuh atau lapan aksi lagi sebelum tirai saingan berlabuh dan juara liga musim 2018-2019 diketahui. Mendahului liga ketika ini adalah Liverpool dengan himpunan 76 mata menerusi 31 aksi, meninggalkan Manchester City dua mata di belakang dengan kelebihan satu perlawanan.

Tempat ketiga kekal milik Tottenham Hotspur yang menghimpun 61 mata melalui 30 perlawanan manakala keempat, Arsenal 60 mata dari 30 aksi. Manchester United mengekori rapat di belakang dengan 58 mata dan Chelsea di tempat keenam, ketinggalan satu mata.

Minggu ini tumpuan perlawanan terarah kepada pertembungan antara Liverpool dan Tottenham Hotspur di Anfield. Dan sudah pasti, keputusan aksi ini akan menentukan nasib kedua-dua kelab. Bagi The Reds, kemenangan bakal mengekalkan mereka di puncak liga.

Andai kecundang, peluang bergelar juara bakal terjejas kerana City sudah pasti memintas mereka. Minggu ini, penyandang juara itu itu berkunjung ke Fulham. Dengan aksi berlangsung jam 8.30 malam ini, tentunya mereka akan kembali merampas puncak liga kerana Fulham bukan lawan sukar.

Perlawanan Liverpool-Spurs ini hanya akan berlangsung lewat malam esok. Buat anak buah Mauricio Pochettino pula, tiga mata penting untuk terus kekal empat teratas liga. Andai hilang mata, Arsenal akan memintas mereka jika mampu menjinakkan Newcastle di laman sendiri pada Selasa.

United yang beraksi pada jam 11 malam ini, biarpun menang ke atas Watford tidak dapat memintas Spurs kerana perbezaan jumlah jaringan di sebalik himpunan mata sama.

Jadi bagaimana jangkaan pertemuan dua gergasi EPL ini? Adakah masing-masing memiliki kelebihan untuk muncul sebagai pemenang? Liverpool pastinya ada selaku tuan rumah, selain motivasi ingin bergelar juara selepas 30 tahun kemarau.

Pada aksi terakhir pertengahan minggu lalu, barisan Jurgen Klopp mengatasi Fulham 2-1, manakala Spurs dikejutkan oleh Southampton 2-1. Sebelum itu, mereka diikat 1-1 oleh jiran London Utara, Arsenal. Pada pertemuan di Wembley 15 September lalu, The Reds menang 2-1 ke atas Spurs.

Saya menjangkakan saingan di Anfiled jam 11 malam esok bakal sengit dan luar biasa, jika mengambil kira misi ingin dicapai kedua-duanya. Mana-mana pasukan yang tewas, kesannya juga sudah pasti luar biasa. Yang pasti, jika Liverpool tewas, misi merangkul kejuaraan liga, bakal terjejas.

Sementara itu, United tiada pilihan kecuali memenangi aksi bertemu Watford di Old Trafford, jika ingin terus menghidupkan peluang muncul empat pasukan terbaik sekali gus layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Dua minggu lalu, mereka tersingkir daripada saingan suku akhir Piala FA dan bakal berdepan cabaran besar apabila di undi bertemu Barcelona dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara awal bulan depan.

Satu lagi pasukan yang berpeluang ke saingan Liga Juara-Juara, Chelsea dijangka tiada masalah untuk mengenepikan cabaran Cardiff City untuk terus menekan Arsenal, United dan Spurs bagi merebut empat pasukan terbaik. Selamat menonton

Ramalan minggu ini:

Fulham 0 Man City 4

C Palace 1 Huddersfield 2

Leicester 2 Bournemouth 2

Man United 2 Watford 0

Burnley 2 Wolves 1

Brighton 1 Southampton 1

West Ham 2 Everton 2

Cardiff 1 Chelsea 4

Liverpool 2 Tottenham 1

Arsenal 3 Newcastle 1

Berita Harian X