Sabtu, 30 March 2019 | 12:38pm
AIDIL Sharin Sahak memuji semangat juang serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain. - NSTP/Amran Hamid

Aidil bangga aksi anak buah

 

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemainnya walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 berdepan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Aman malam tadi. 

"Sikap tidak menyerah kalah serta komitmen tinggi membolehkan mereka bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol pada awal perlawanan,” kata Aidil.

"Saya rasa bukan mudah bagi mana-mana pasukan untuk berhadapan JDT dan saya bangga Kedah dapat 'mencuri' dua mata daripada JDT dan menyekat JDT daripada menjarakkan kedudukan di carta Liga Super.

"Namun apa yang penting adalah semua pemain saya telah memberi usaha 100 peratus mereka dan juga saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Hijau Kuning yang hadir memberi sokongan motivasi kepada pasukan yang mereka sayangi." 

PEMAIN import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (dua dari kanan) meraikan jaringannya ketika menentang JDT, malam tadi. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Aidil mengakui beberapa perubahan posisi dan taktikal terpaksa dilakukan bagi mengelak lawan menghidu corak permainan yang sama seperti yang selalu dilihat.

Selain taktikal, Aidil turut memuji Fernando Rodriguez yang berjaya meledak gol untuk Kedah selain aksi pertahanan Khairul Helmi Johari yang menggantikan pemain import Renan Alves selepas pemain itu menjalani penggantungan kad merah dan juga Azmeer Yusof yang menggantikan Alif Yusof pada perlawanan kali ini.

"Rodriguez berjaya membuktikan ketajamannya pada perlawanan kali ini manakala pemain pertahanan pula mampu mempertahankan benteng Kedah dengan baik termasuk Ifwat Akmal (Chek Kassim) yang cemerlang dan berjaya menghalang beberapa percubaan bahaya JDT,” katanya.

Berita Harian X