Sabtu, 30 March 2019 | 7:39pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kanan) bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam (belakang kiri) serta ahli jawatankuasa eksekutif FAM semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-7 Sesi 2017-2021 di Hotel Equatorial Pulau Pinang, Bayan Lepas. - Foto Danial Saad

FAM lulus proses pengambilan pemain naturalisasi

GEORGETOWN: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan menerusi tiga peringkat. 

FAM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tiga peringkat itu meliputi pengambilan pemain jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang.

"Bagi peringkat jangka pendek, ia membabitkan pemain berdarah campuran sama ada (pemain) mereka sendiri dilahirkan di Malaysia, ibu atau bapanya dilahirkan di Malaysia atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia.

"Proses jangka pertengahan membabitkan pemain asing baharu yang berusia 18 tahun ke atas dan sudah bermain dalam Liga Malaysia untuk satu atau dua tahun serta meyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum lima tahun," menurut kenyataan itu.

Bagi peringkat jangka panjang pula membabitkan pemain asing berusia bawah 18 tahun termasuk mengambil kira jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan yang akan dicadangkan oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-7 bagi penggal 2017-2021, di sini hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Menurut kenyataan itu, panel teknikal yang terdiri daripada Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, barisan jurulatih kebangsaan dan individu lain yang berkaitan itu akan memberi cadangan dan nasihat kepada FAM dari sudut teknikal.

"Segala butiran lanjut dan perkembangan terbaharu mengenai proses naturalisasi ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa untuk makluman seluruh pemegang taruh bola sepak negara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X