Ahad, 31 March 2019 | 1:31am
Pemain Manchester United, Marcus Rashford (kiri) menewaskan penjaga gol Watford FC, Ben Foster untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto EPA
Pemain Manchester United, Marcus Rashford (kiri) menewaskan penjaga gol Watford FC, Ben Foster untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto EPA

Rashford, Martial buat Solskjaer tersenyum

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer meraikan perlawanan pertamanya sebagai pengurus sepenuh masa Manchester United dengan kemenangan 2-1 menundukkan Watford di Old Trafford, malam tadi.

Begitupun, ia bukan perlawanan yang diharapkan daripada United tetapi gol daripada Marcus Rashford dan Anthony Martial pada kedua-dua babak permainan mengesahkan kemenangan sekali gus membawa Red Devils ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Selepas 31 perlawanan, United ketika ini mengumpul jumlah mata yang sama, 61 mata dengan pasukan tangga ketiga, Tottenham Hotspur tetapi bermain lebih satu perlawanan berbanding kelab dari London itu.

United mendahului permainan pada minit ke-28 apabila hantaran yang dijana Luke Shaw bijak disempurnakan Rashford untuk menyaksikan penjaga gol Watford, Ben Foster tertewas.

Watford begitupun lebih banyak menguasai permainan di bahagian United dan tampak berbahaya sebelum rehat sebelum tuan rumah mengesahkan tiga mata menerusi jaringan Martial pada minit ke-72.

Pemain Manchester United, Anthony Martial (3 dari kiri) menanduk bola masuk ke gawang Watford FC pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto EPA
Pemain Manchester United, Anthony Martial (3 dari kiri) menanduk bola masuk ke gawang Watford FC pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto EPA

Berpunca daripada hantaran rendah pemain gantian, Jesse Lingard, Martial tidak bermasalah untuk menewaskan Foster bagi meletakkan United mendahului 2-0.

Watford memperoleh jaringan yang diharapkan apabila Abdoulaye Doucoure memecah kebuntuan pada minit ke-90 berpunca hantaran Isaac Success tetapi ia agak terlewat.

Bekas penyerang United, Solksjaer dianugerahkan kontrak selama tiga tahun, Khamis lalu sudah mengemudi Red Devils meraih 15 kemenangan daripada 20 perlawanan sejak mengambil alih jawatan pada Disember lalu. 

Sementara itu dalam perlawanan lain, Brighton & Hove Albion menewaskan Southampton 1-0 di Stadium Amex manakala Burnley mengalahkan Wolverhampton 2-0 di Turf Moor dengan Leicester City meraih kemenangan 2-0 ke atas  Bournemouth. - Reuters

Berita Harian X