Ahad, 31 March 2019 | 7:43pm
PENGURUS Real Madrid, Zinedine Zidane (kiri) cukup mengenali Paul Pogba.

'Pogba boleh sertai saya di Madrid'

LONDON: Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui amat menggemari bintang Manchester United, Paul Pogba yang digambarkan sebagai pemain tengah yang ‘tahu bagaimana untuk melakukan segala-galanya di atas padang.’

Pogba, 26, kuat dikaitkan dengan gergasi Sepanyol itu dan pernah menggambarkan Real sebagai ‘kelab impian untuk semua pemain’ ketika sedang menggalas tugas bersama skuad kebangsaan Perancis.

“Saya mengenalinya secara peribadi,” kata legenda Perancis, Zidane. “Banyak yang boleh ditawarkan olehnya dan tidak banyak pemain yang mampu melakukan seperti itu. 

Pogba menyertai United dari Juventus dengan perpindahan memecah rekod dunia ketika itu £89 juta (RM473.94 juta) pada 2016 tetapi masa depannya di Old Trafford tampak gelap pada awal musim ini selepas timbul spekulasi mengenai perbalahan dengan bekas pengurus, Jose Mourinho.

Sejak Ole Gunnar Solskjaer menggantikan Mourinho yang dipecat pada Disember, Pogba mengembalikan prestasinya dengan pemenang Piala Dunia 2018 itu sudah meledak sembilan gol di bawah kendalian pengurus dari Norway itu.

“Dia adalah pemain tengah yang tahu bagaimana untuk bertahan dan tahu untuk menyerang,” kata Zidane yang kembali ke Real pada 11 Mac lalu, kurang 10 bulan sejak meninggalkan Santiago Bernabeu.

“Tetapi dia bukan pemain saya, dia berada di Manchester. Dia sentiasa berkata selepas Manchester, Madrid sentiasa berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Jadi apabila pengalamannya di Manchester berakhir, mengapa tidak datang ke Madrid?” - Agensi

Berita Harian X