Isnin, 1 April 2019 | 1:23pm
PENYERANG import Kelantan, Raul Tarragona membuat keputusan mengejut dengan meninggalkan pasukan berkenaan berkuat kuasa serta merta semalam. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Tarragona tinggalkan Kelantan

 

KOTA BHARU: Penyerang import Kelantan, Raul Tarragona membuat keputusan mengejut dengan meninggalkan pasukan berkenaan berkuat kuasa serta merta semalam. 

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad mengesahkan, Tarragona sudah meninggalkan pasukan berkenaan. 

"Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama dan selepas mengambil kira pelbagai faktor, KRW terpaksa menghormati keputusannya (Tarragona) dan melepaskannya berkuat kuasa semalam.

"Pihak pengurusan KRW turut mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih di atas sumbangan Tarragona membantu pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, penyerang kelahiran Uruguay berusia 32 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada peminat pasukan bola sepak negeri ini yang memberi sokongan kepadanya ketika bersama pasukan.

“Keputusan terbabit dilakukan atas kehendak saya sendiri dan tiada desakan mana-mana pihak atau kaitan dengan isu pasukan Kelantan.

"Saya harap penyokong memahami situasi seorang pemain bola," katanya ketika dihubungi semalam.

Awal tahun ini, Tarragona diumumkan secara rasmi selaku pemain import TRW 2019 bersama tiga lagi  pemain import, Flavio Junior Beck, Mustafa Zazai, dan Cassio.

Untuk rekod, Tarragona hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) sepanjang bersama The Red Warriors (TRW) yang  beraksi dalam enam perlawanan Liga Perdana musim ini.

Berita Harian X