Isnin, 1 April 2019 | 8:17pm
Jurulatih FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil. - Foto Nurul Shafina Jemenon

The Fighters waspada cabaran Kuching FA

KUANTAN: FELDA United FC menghormati Kuching FA apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Negeri, Sarawak, petang esok.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, biarpun kelab itu mengharungi saingan Liga M3 musim ini, cabaran kelab dari Sarawak itu tidak boleh diketepikan.

"Pasukan Kuching FA turut dibarisi pemain berpengalaman dan sebagai kelab yang beraksi di Liga Super, FELDA United tetap hormati lawan.

"Oleh itu, misi utama adalah menewaskan tuan rumah untuk layak ke pusingan seterusnya dan The Fighters tiada masalah untuk bermain pada waktu petang," kata Nidzam.

Mohd Nidzam berkata, skuad kendaliannya sudah melupakan kekalahan 1-3 kepada Pahang dalam saingan Liga Super kelmarin.

"Fokus kami ialah mencatat kemenangan ke atas Kuching FA untuk membawa FELDA United mencapai keputusan terbaik dalam saingan Piala FA musim ini," katanya.

Antara pemain berpengalaman beraksi bersama Kuching FA ialah bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie dan bekas penjaga gol Pahang dan Sarawak, Mohd Iqbal Suhaimi.

Berita Harian X