Selasa, 2 April 2019 | 1:20pm
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri, berdiri) bersama pemain Kedah. - Arkib NSTP

'Tenaga baharu' Kedah bertemu Selangor United

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bakal melakukan percaturan baharu untuk skuad Kedah bagi menghadapi Selangor United dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Aman esok.

Mengulas berkaitan perkara itu, Aidil berkata beliau akan meletakkan beberapa pemain lain yang juga  'tenaga baharu' bersesuaian dengan strategi khusus untuk saingan Piala FA. 

"Kita lupakan seketika perlawanan liga dan kebanyakan pemain sudah memberi segalanya dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini sewaktu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan ada antara mereka perlu berehat seketika.

"Kita memiliki pemain lain yang berkualiti dan mereka akan menggalas tugas penting untuk menentang Selangor United.

"Namun kita tetap tidak akan mengambil mudah setiap perancangan akan kita lakukan kerana kita menyedari ini saingan kalah mati merebut Piala FA," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan beberapa pemain baharu yang akan dipilih, Aidil berkata beliau sudah mengenalpasti kelebihan mereka. 

"Saya percaya dengan kemampuan pemain akan dipilih nanti dan pastinya kami mahukan kekuatan seimbang.

"Kita juga merasa lega kerana pemain import pertahanan, Renan Alves sudah bersedia untuk beraksi semula selepas hampir sebulan berehat.

"Saya gembira dengan kemunculannya dan saya yakin beliau akan mempamerkan persembahan terbaiknya nanti,"  katanya. 

Berita Harian X