Rabu, 3 April 2019 | 1:10am
Reaksi Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika pasukannya menentang Fulham pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - Foto REUTERS
Reaksi Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika pasukannya menentang Fulham pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - Foto REUTERS

Guardiola simpati nasib Warnock

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata dia mengerti perasaan bos Cardiff City, Neil Warnock susulan kritikannya terhadap Ketua Pengadil, Mike Riley selepas kekalahan kontroversi skuad kendaliannya terhadap Chelsea, minggu lalu.

Warnock yang membimbing pasukannya mengelak penyingkiran berkata standard pegawai perlawanan di Liga Perdana Inggeris semakin ke belakang sejak Riley bergelar Pengurus Besar Pegawai Perlawanan Profesional.

Cardiff tampak menuju kemenangan sebelum kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta menanduk masuk gol penyamaan sekali pun kedudukannya dikatakan ofsaid sebelum dikecewakan jaringan Ruben Loftus-Cheek pada masa kecederaan.

Pemain Chelsea, Azpilicueta menanduk masuk gol penyamaan ketika menentang Cardiff City pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. - Foto Reuters
Pemain Chelsea, Azpilicueta menanduk masuk gol penyamaan ketika menentang Cardiff City pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. - Foto Reuters

“Ada sesiapa yang tidak dapat memahami reaksinya (keputusan pada Ahad lalu)? Ia sukar bagi pengurus, kelab dan pemain yang mahu kekal di Liga Perdana Inggeris,” kata Guardiola. Ia isu yang besar. Kami bersimpati terhadapnya, kami benar-benar memahaminya.”

City yang ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liverpool akan merampas kembali kedudukan itu jika menewaskan Cardiff yang menghuni tangga ke-18, awal pagi esok.

Begitupun, Guardiola berkata pasukan tetapi bermotivasi menentang kelab yang sudah tewas empat daripada lima perlawanan dan hampir menewaskan Chelsea itu.

“Cardiff tetap berbahaya, berdasarkan apa yang kami melihat ketika perlawanan dengan Chelsea,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Ia bukan pasukan yang sudah berputus asa. Kami tahu bagaimana untuk bermain dan setiap perlawanan adalah final ketika ini. Motivasi tidak akan menjadi masalah.” - Reuters

Berita Harian X