Rabu, 3 April 2019 | 10:42pm
- Foto ihsan UKM FC
- Foto ihsan UKM FC

Ijezie pilihan utama 'Sumareh 2.0'

PETALING JAYA: Pemain import Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Michael Ijezie seakan jadi calon pilihan untuk mengikuti jejak Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Difahamkan, pengendali negara, Tan Cheng Hoe berminat dan wakil daripada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sudah menemui pemain berkenaan.

Bagaimanapun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bersikap lebih berhati-hati dan tidak menilai kepada prestasi atas padang semata-mata.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam berkata pihaknya terlebih dulu perlu menyelidik latar belakang seseorang pemain sebelum memutuskan siapa yang akan muncul sebagai ‘Sumareh 2.0’.

"Saya tidak pasti dan tiada maklumat mengenai pertemuan itu. Apa pun ia bergantung kepada jurulatih pemain mana yang dikehendaki.

"Namun FAM akan selidik dulu seseorang pemain berkenaan termasuk latar belakang mereka. Kita mahu pastikan mereka tidak ada rekod yang tidak baik," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.

BH Sukan, semalam melaporkan hanya tiga pemain dipertimbangkan secara serius buat masa ini oleh FAM untuk dijadikan pemain naturalisasi.   

Tiga pemain itu ialah pemain tengah Melaka United (MU), Liridon Krasniqi; penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dan Ijezie yang dilihat memenuhi kriteria bagi proses jangka pendek program naturalisasi badan induk itu.  

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menjelaskan cadangan itu bukan bermakna mereka akan terus menyarung jersi pasukan kebangsaan secara automatik memandangkan banyak lagi yang perlu diteliti.

"Ini baru cadangan di mana kita melihat pemain yang berpotensi namun kita juga mengambil kira faktor lain khususnya prestasi yang menjadi kriteria utama untuk kita ambil sebagai pemain naturalisasi," kata Mohd Yusoff.

Berita Harian X