Khamis, 4 April 2019 | 8:05am
PEMAIN Chelsea, Callum Hudson-Odoi (kiri) diasak pemain Brighton, Gaetan Bong pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Chelsea, Callum Hudson-Odoi (kiri) diasak pemain Brighton, Gaetan Bong pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP

Sarri puji bintang muda Chelsea

LONDON: Maurizio Sarri mengalu-alukan Callum Hudson-Odoi dan Ruben Loftus-Cheek sebagai bintang masa depan Chelsea selepas pemain muda itu mencetus kemenangan 3-0 ke atas Brighton awal pagi tadi.

Sarri tidak mampu menanggung keputusan negatif dalam pertemuan dengan kelab bergelut Brighton di Stamford Bridge selepas desakan meletak jawatan sekali lagi dilaungkan ketika kemenangan kurang meyakinan di Cardiff Ahad lalu.

Penyokong Chelsea yang berang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka hujung minggu lalu susulan keputusan Sarri untuk tidak menurunkan pemain sayap England Hudson-Odoi.

Tetapi Sarri akhirnya memasukkan Hudson-Odoi dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris buat pertama kali, manakala Loftus-Cheek memanfaatkan kepercayaan pengendali itu dengan membantu pasukan kekal di landasan untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas.

PEMAIN Chelsea, Ruben Loftus-Cheek (kiri) diasak pemain Brighton, Florin Andone pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Chelsea, Ruben Loftus-Cheek (kiri) diasak pemain Brighton, Florin Andone pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP

Hudson-Odoi mengumpan bola untuk gol babak pertama Olivier Giroud dan Loftus-Cheek membuat umpanan untuk gol kedua yang dijaringkan Eden Hazard.

Pemain tengah England, Loftus-Cheek melengkapkan kemenangan bermakna itu dengan gol ketiga.

“Pemain-pemain muda beraksi sangat baik, tetapi saya sudah menjangkakannya. Callum sekarang sedia untuk bermain dalam setiap perlawanan,” kata Sarri.

“Dia menunjukkan peningkatan ketara sepanjang musim. Saya amat gembira untuknya kerana dia juga bertahan dengan baik.”

Chelsea kini di tangga kelima, di belakang Arsenal di tangga keempat yang hanya dibezakan jumlah jaringan. – AFP

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X