Jumaat, 5 April 2019 | 11:18pm
PEMAIN JDT, Muhammad Safawi Rashid (kiri) diasak pemain FELDA United, Thiago Junio De Aquino pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Mohd Azren Jamaludin.

JDT menang selepas lawan 8 orang

JOHOR BAHRU: Takhta liga kembali dikuasai oleh pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menewaskan FELDA United 3-1 dalam perlawanan dramatik aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang menurunkan barisan yang sama ketika terikat 1-1 dengan Kedah, pada 29 Mac lalu tampak bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya yang mengundang cemas di benteng skuad The Fighters.

Tindakan pantas kapten Hadin Azman menanduk kemas pada minit ke-10 tatkala bola hampir melepasi garisan selepas ditanduk Diogo Luis Santo, menyelamatkan pelawat daripada bolos awal ketika penjaga gawang, Norazlan Razali pun sudah tertewas.

Serangan bertali arus tuan rumah masih belum menemui sentuhan penyudah apabila bola umpanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke-20 tepat kepada Luis Santo, namun disudahi sekadar merembat lemah dan terus kedakapan Norazlan.

Corak permainan anak didik Mohd Nidzam Jamil yang kerap bertahan dan hanya bertindak melancarkan serangan jika ada peluang mengundang kesukaran buat skuad bimbingan gandingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora yang tampak tercari-cari untuk mencipta gol ketika aksi menghampiri ke penghujung babak pertama.

Agak mengecewakan persembahan tuan rumah ketika meraih sepakan percuma hanya di luar kotak penalti pada minit ke-42 dan berada di posisi terbaik untuk mencipta jaringan tetapi dipersia-siakan Luis Santo.

Bersambung babak kedua, Norazlan menjadi duri dalam daging buat tuan rumah selepas berjaya menepis bola percubaan Luis Santo yang hampir menerjah jaringan pada minit ke-47 selepas menerima umpanan lintang Azrif Nasrulhaq.

Malang buat pelawat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Zahril Azri Zabri dilayangkan kad merah kerana mengasari Natxo Insa pada minit ke-60 selepas mengumpul dua kad kuning.

Pelawat terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Thiago Junior pula dilayangkan kad merah kerana melewatkan perlawanan selepas mengutip dua kad kuning pada minit ke-83. Ia kemudian disusuli pembuangan Hadin Azman empat minit selepas itu untuk menjadikan pelawat hanya tinggal lapan pemain.

Kesempatan itu kemudian digunakan sepenuhnya Gonzalo Cabrera menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama apabila pelawat bangkit menyamakan jaringan menerusi sepakan percuma Jocinei Schad pada minit ke-90.

Namun, Akhyar menceriakan kem JDT apabila menjaringkan gol kedua tidak lama selepas itu, sebelum diikuti jaringan Luis Santo bagi memastikan kemenangan tuan rumah pada masa kecederaan perlawanan untuk keputusan muktamad 3-1.

Berita Harian X