Ahad, 7 April 2019 | 8:21am
Penyerang Barcelona, Luis Suarez meraikan jaringan golnya ketika menentang Atletico Madrid, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Penyerang Barcelona, Luis Suarez meraikan jaringan golnya ketika menentang Atletico Madrid, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Barca kian hampir julang La Liga

BARCELONA: Luis Suarez dan Lionel Messi menghasilkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk membolehkan Barcelona mengatasi Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 pemain sekali gus kini menjarakkan diri kepada 11 mata ke atas pencabar La Liga yang lain.

Diego Costa diarahkan keluar padang pada minit ke-28 selepas membantah pengadil di Camp Nou, pagi tadi sebelum Suarez dan Messi meledak jaringan lewat untuk menghadiahkan Barca kemenangan 2-0.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Ernesto Valverde semakin jauh meninggalkan pencabar lain selain bekalan terbaik bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara bertemu Manchester United pada awal pagi Khamis ini.

"Ia adalah tiga mata penting," kata Valverde. "Kami semakin hampir.

"Ia membesarkan jurang mata antara kami dengan pasukan lain. Kami bukan saja mengambil satu langkah tetapi sebaliknya dua langkah."

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer turut hadir menonton aksi berkenaan bersama pembantunya Mike Phelan.

Kehilangan Costa sejak awal permainan nyata membawa padah buat Atletico yang mana jurulatihnya, Diego Simeone pada minggu lalu mengakui hanya keputusan positif mampu terus menghidupkan peluang mereka.

Penyerang Barcelona, Lionel Messi mengawal bola dari pemain Atletico Madrid, Koke pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Barcelona, Lionel Messi mengawal bola dari pemain Atletico Madrid, Koke pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

"Saya bertanya pada pengadil dan dia memberitahu saya Costa ada berkata sesuatu kepadanya," kata Simeone. "Pemain lain turut melakukan perkara sama tetapi tidak dilayangkan kad merah."

Suarez muncul watak penyelamat Barca apabila percubaan jarak jauhnya menemui sasaran pada minit ke-85, Messi menambah jaringan kedua selang seminit kemudian. 

Kombinasi kedua-dua penyerang Barcelona itu sudah menghasilkan keseluruhan 53 gol liga sesama mereka pada musim ini, manakala bagi Messi ia adalah jaringan ke-335 dalam saingan La Liga. – AFP

Berita Harian X