Isnin, 8 April 2019 | 7:06am
Reaksi pengendali Arsenal, Unai Emery (kanan) sewaktu pasukan bimbingannya menentang Everton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam. - Foto Reuters

Situasi Arsenal masih terkawal - Emery

LIVERPOOL: Unai Emery berkata Arsenal masih mengawal pemburuan ke kelayakan Liga Juara-Juara selepas mengharungi satu lagi aksi mengecewakan di gelanggang lawan apabila tewas 0-1 kepada Everton, semalam.

Phil Jagielka, yang disenaraikan dalam kesebelasan utama Everton pada saat akhir menjaringkan gol tunggal di Goodison Park dengan Arsenal menjadi satu-satunya pasukan di kelompok empat terbaik gagal menghalang gawang mereka daripada dibolosi di tempat lawan, musim ini.

Begitupun, pengurus Arsenal Emery sekali pun mengakui pasukannya beraksi buruk cuba untuk kekal positif sejurus perlawanan.

“Saya fikir secara umum kami tidak apa-apa. Saya tidak fikir: ‘hari ini kami tewas dan kami amat teruk’. Ia bukan keputusan yang buruk, bukan persembahan yang baik hari ini tetapi kami di tangga keempat,” kata Emery.

“Sebelum ini, saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Selepas keputusan ini, fikiran saya tidak berubah. Selepas keputusan ini, kami boleh menjadi negatif kerana ia adalah kami kehilangan tiga mata, tetapi ia masih di dalam genggaman kami. 

“Jika kami terus mengambil peluang, kami akan berada di kedudukan empat terbaik.”

Sementara itu, Emery turut bertikam lidah dengan bos Everton, Marco Silva lapan minit sebelum permainan berakhir apabila pemainnya, Shkodran Mustafi dilayangkan kad kuning susulan kekasaran terhadap Richarlison.

“Dia melakukan terjahan lewat, tetapi saya fikir ia adalah kad kuning,” kata Emery. “Saya bercakap dan dia (Silva) datang ke kawasan saya di tempat duduk pemain gantian dan menerangkan sesuatu kepada saya. Tetapi ia bukan satu masalah.” - AFP

Berita Harian X