Rabu, 17 April 2019 | 9:02am
Lionel Messi mencetus kemenangan 3-0 buat skuad Barcelona. - Foto Reuters
Lionel Messi mencetus kemenangan 3-0 buat skuad Barcelona. - Foto Reuters

Jangan kata Messi 'tak payung'

BARCELONA: Pengendali Barcelona Ernesto Valverde memuji Lionel Messi kerana menetapkan rentak pasukan yang bermula goyah menentang Manchester United serta mencetus kemenangan 3-0 buat skuad Catalan itu untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Percubaan Marcus Rashford terkena palang pada minit kedua aksi timbal balik di Nou Camp tetapi Messi meledak dua kali dalam tempoh lima minit di akhir babak pertama untuk meletakkan Barca dalam kedudukan selesa.

Jaringan Philippe Coutinho melengkapkan kemenangan 4-0 secara agregat gergasi Sepanyol itu ke atas United.

“Messi sentiasa menyelamatkan kami daripada kesusahan dan kami tidak menyesal untuk memilikinya,” kata Valverde.

“Leo sering muncul pada perlawanan-perlawanan penting, bukan hanya untuk saat-saat tertentu tetapi pada keseluruhan permainan. Dia bukan saja mampu menjaringkan gol tetapi turut menerajui jentera serangan.”

Menurut Valverde pasukannya kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya melepasi halangan suku akhir selepas tiga kali berturut-turut tersingkir daripada kelompok lapan terakhir, terutamanya musim lalu susulan kekalahan 3-0 di tangan AS Roma pada aksi timbal balik selepas mendahului 4-1 pada perlawanan pertama.

“Kami menaruh harapan tinggi pada pertemuan ini, sudah terlalu lama sejak kami beraksi di separuh akhir dan kami mengalami kekalahan memeritkan tahun lalu.

“Anda tidak tahu apa yang akan terjadi dalam bola sepak, mereka mempunyai pasukan yang bagus dan mampu memberi masalah kepada kami, jadi kami pastikan sentiasa fokus dan bermain bersungguh-sungguh untuk mara,” katanya. - Reuters

Berita Harian X