Khamis, 18 April 2019 | 3:47pm
MICHEAL Ijezie. - Foto FB UKM FC
MICHEAL Ijezie. - Foto FB UKM FC

Ijezie kian hampir jadi pemain naturalisasi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Impian melihat awang import Universiti Kebangsaan Malaysia FC (UKM FC), Michael Ijezie menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi kini semakin hampir menjadi kenyataan.

Difahamkan, segala dokumen rasmi yang diperlukan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun berada 'dalam tangan' badan induk ini.

Dokumen itu diserahkan sendiri oleh ejen Ijezie dan kini hanya menunggu kelulusan daripada badan induk itu sebelum proses berkenaan dipanjangkan ke peringkat kerajaan.

Malah Ijezie sendiri seakan beri bayangan yang proses menjadikannya sebagai pemain naturalisasi sedang berjalan lancar dan dikatakan hanya menunggu 'lampu hijau' daripada FAM.

"Buat masa sekarang saya hanya fokus kepada bola sepak dan tidak mahu terlalu memikirkan soal itu. Saya juga mahu baiki kelemahan untuk jadi lebih baik.

"Saya masih tunggu tetapi ianya boleh dikatakan positif. Jika lulus, sudah pasti saya mahu bermain (bersama skuad Harimau Malaya)," katanya ketika ditemui pada aksi pusingan ketika antara UKM dan Pahang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh muncul pemain naturalisasi pertama negara dan kehadirannya jelas beri impak kepada prestasi skuad kebangsaan.

Jika Ijezie mendapat kelulusan daripada kerajaan, ia pasti khabar gembira buat Tan Cheng Hoe untuk merencana perancangan terbaik menjelang playoff kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada 6 dan 11 Jun ini.

Berita Harian X