Sabtu, 20 April 2019 | 7:36am
PENYERANG Lyon, Depay (kiri) meledak gol pertama ketika menentangt Angers di Stadium Groupma. - Foto Reuters
PENYERANG Lyon, Depay (kiri) meledak gol pertama ketika menentangt Angers di Stadium Groupma. - Foto Reuters

Depay akhiri kemarau Lyon

PARIS: Memphis Depay membantu Lyon menewaskan Angers 2-1 dalam saingan Ligue 1 bagi menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan sekali gus kekal dalam persaingan memburu tempat ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Gol-gol babak pertama jaringan pemain Belanda dan Martin Terrier menyaksikan Lyon mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga dengan 59 mata, enam melebihi Saint-Etienne di tangga keempat.

Tetapi menuju ke minit akhir permainan, gawang Lyon dibolosi oleh pemainnya sendiri, Lucas Tousart selepas penjaga golnya Anthony Lopes gagal mengeluarkan bola dengan baik.

Ini adalah perlawanan pertama Lyon di tempat lawan sejak pengendalinya Bruno Genesio mengumumkan akan meletak jawatan pada akhir musim ini.

Ia susulan kekalahan liga di tangan pasukan bergelut, Nantes dan penyingkiran bekas juara Perancis itu daripada saingan Liga Juara-Juara serta Piala Perancis dalam tempoh lebih sebulan.

Depay membuka jaringan pada minit ke-14 hasil hantaran Houssem Aouar. Penyerang 25 tahun itu hampir menambah jaringan seminit kemudian namun rembatannya terkena tiang.

Menuju waktu rehat Terrier memperdaya penjaga gol Angers Ludovic Butelle untuk gol kedua, juga berpunca daripada hantaran Aouar.

Sebelum itu Rennes, yang berdepan Paris Saint-Germain pada final Piala Perancis hujung minggu depan, tewas 3-2 di Dijon.

PSG berpeluang mengesahkan kejuaraan Ligue 1 esok apabila melayan kunjungan Monaco, dan akan dinobatkan juara sebelum perlawanan berkenaan sekiranya Lille, di tangga kedua, gagal mengutip tiga mata di Toulouse. – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X