Ahad, 21 April 2019 | 8:16am
PEMAIN Barcelona, Jordi Alba (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. - Foto Reuters

Barca hampiri gelaran La Liga

MADRID: Barcelona menghampiri gelaran La Liga kelapan mereka dalam tempoh 11 tahun selepas Clement Lenglet dan Jordi Alba menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Real Sociedad.

Barca kini hanya perlu menewaskan Alaves Selasa ini dan kemudian Levante pada Sabtu untuk dinobatkan juara di Camp Nou, manakala tiga mata menentang Alaves sudah mencukupi sekiranya Atletico Madrid tewas kepada Valencia pada Rabu.

Sama ada dalam tempoh tiga atau tujuh hari, anak buah Ernesto Valverde sudah di ambang mempertahankan kejuaraan, walaupun Atletico mengekalkan jurang sembilan mata selepas mengatasi Eibar.

“Kami perlu melupakan hakikat yang kami mempunyai jurang sembilan mata,” kata Valverde. “Kami kini mempunyai tempoh tiga hari sebelum bermain semula dan ia akan menjadi sukar.”

Mengesahkan kejuaraan lebih awal akan membantu Barcelona memberi tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara, di mana kelebihan akan berpihak kepada mereka berbanding lawan di separuh akhir, Liverpool yang kini bersaing sengit dengan Manchester City dalam perebutan Liga Perdana Inggeris.

Lenglet membuka jaringan untuk Barca selepas menanduk masuk hantaran Ousmane Dembele di akhir babak pertama. Namun Real Sociedad menyamakan kedudukan hasil jaringan Juanmi pada minit ke-62 sebelum Alba meledak gol kemenangan dua minit kemudian.

Ini adalah perlawanan liga ke-21 Barca tanpa kekalahan. – AFP

 

Berita Harian X