Ahad, 21 April 2019 | 10:20pm
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Jangan sampai KLFA bawa ke FIFA'

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menghantar surat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), esok bagi mendapatkan penjelasan secara terperinci selain memohon menangguhkan kongres ke-31 badan induk itu.

Sebelum ini, PJS memberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk KLFA mengadakan kongres berkenaan dan pemilihan barisan kepimpinan baharu persatuan itu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya bagaimanapun ingin memohon untuk menangguhkan kongres berkenaan sama ada pada Ogos atau September ini.

Malah, beliau juga menegaskan KLFA tidak akan teragak-agak untuk membawa kes itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika ia tidak dapat diselesaikan secara baik.

"Sekarang ini yang ganggu adalah mereka (PJS), bukan kita. Mengikut statut mereka tidak boleh campur tangan dan kita belum mengadakan mesyuarat lagi mereka sudah kacau.

"Jadi kita akan buat surat biar mereka jawab, kalau dia jawab cepat, maka cepatlah kita akan bermesyuarat (buat pemilihan). Kalau ikut pada FIFA, mereka tak boleh kacau (urusan dalaman) KLFA.

"Hanya FAM yang boleh buat tindakan sebab kita ahli gabungan FAM, mereka kerajaan. Saya sanggup pergi sampai ke FIFA, sebab mereka yang kacau kita. Kalau terpaksa kita akan buat, tapi tengok keadaan dulu.

"Sekarang ini kita nak bagi surat kepada PJS. Kita akan lawan kerana cara yang mereka buat macam menyalahkan KLFA, kenapa tak salahkan yang buat aduan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung tahun lalu ditangguhkan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman susulan kemelut mengenai pencalonan bagi merebut jawatan pada kongres berkenaan.

Selain itu, Nokman juga mengesahkan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada ahli gabungan mereka yang membuat aduan kepada PJS.

"Minggu depan saya akan keluarkan surat tunjuk sebab kepada semua kelab yang mengadu ini, kenapa tidak buat aduan melalui KLFA dulu sebelum ke FAM atau PJS. Jadi kita nak minta mereka jawab," katanya.

Berita Harian X