Rabu, 24 April 2019 | 7:21pm
MUSTAFA Zazai

Mustafa bakal tinggalkan Kelantan

KOTA BHARU: Penyerang Import, Mustafa Zazai dikatakan akan meninggalkan Kelantan pada perpindahan kedua Liga Malaysia bermula 2 Mei depan.

Desas desus itu bertiup kencang selepas Pengurus Kelantan, Yusri Che Lah baru-baru ini mempersoalkan kebolehan pemain kelahiran Afghanistan itu disifatkan tidak mempunyai kualiti sebagai pemain import dan tidak sepatutnya berada dalam pasukan.

 

Menurut sumber terdekat, Mustafa sudah mengadakan perbincangan bersama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai perkara terbabit dan persetujuan perpindahan sudah mencapai kata putus daripada kedua-dua pihak.

"Ya memang Mustafa bakal berhijrah pada perpindahan nanti dan persetujuan sudah dibuat, cuma hanya menunggu masa saja.

"Ada beberapa faktor menyebabkan Mustafa ingin keluar dari pasukan ini dan kenyataan yang dikeluarkan pengurus pasukan mungkin menjadi antara faktor.

"Betul juga tindakan Mustafa...untuk apa terus bersama jika pasukan sudah tidak memerlukannnya. Sebagai seorang pemain, dia perlu rasa dihargai," kata sumber berkenaan.

Kem Kelantan kini semakin parah susulan beberapa faktor dan permasalahan dalaman yang tidak dapat dikawal pengurusan.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang dulunya gah dengan gelaran 'Pahlawan Merah' kini tempang dengan isu denda serta hukuman dari badan pentadbir bola sepak tanah air, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Sebelum Mustafa, beberapa pemain dan barisan kejurulatihan sudah berhijrah dari pasukan dalam tempoh yang singkat antaranya Ketua Jurulatih, Marko Kraljevic; pemain tengah, Mohd Badhri Radzi dan penyerang import, Raul Tarragona.

Sementara itu, Mustafa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya menyatakan ia akan diuruskan oleh ejen.

"Ya (akan pindah), saya tidak mahu komen pasal ini dan ejen saya akan menguruskan semuanya bersama pihak pengurusan.

"Setakat ini, saya masih turun latihan walaupun tahu saya tidak disukai...bagi hari mendatang saya tidak tahu bagaimana," katanya.

Berita Harian X