X
Khamis, 25 April 2019 | 8:19am
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersedia untuk merembat ke arah gawang Werder Bremen pada perlawanan Piala DFB, awal pagi tadi. - Foto EPA
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersedia untuk merembat ke arah gawang Werder Bremen pada perlawanan Piala DFB, awal pagi tadi. - Foto EPA

Lewandowski bawa Bayern ke final

BERLIN: Bayern Munich akan berdepan RB Leipzig di final Piala Jerman bulan depan selepas Robert Lewandowski meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Werder Bremen.

Ia adalah final ke-23 gergasi Jerman itu selepas mengatasi Bremen yang bangkit meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan, sebelum penalt Lewandowski memberi kelebihan buat Bayern.

“Ia adalah perlawanan sukar yang kami tidak jangka,” kata permain terbaik perlawanan Thomas Mueller.

“Bola sepak menghiburkan dalam suasana seperti ini. Saya perlu katakan, saya turut meminati Bremen. Saya suka menonton mereka, dan penyokong mereka sangat hebat.”

Lewandowski membuka jaringan pada minit ke-36, dan Mueller menambah jaringan pada minit ke-63 untuk meletakkan Bayern selesa di depan.

Milot Rashica bagaimanapun kembali menghidupkan peluang buat Bremen apabila merapatkan jurang pada minit ke-74 dan membuat umpanan kepada Yuya Osako untuk gol penyamaan seminit kemudian.

Namun penalti yang dianggap “kelakar” oleh pemain Bremen, Max Kruse, mudah disempurnakan Lewandowski pada minit ke-80.

Bayern akan menentang RB Leipzig di Stadium Olimpik Berlin pada 25 Mei, di mana mereka berharap dapat menjulang trofi itu buat kali ke-19. – AFP

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X