Khamis, 25 April 2019 | 1:30pm
Pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil (kanan) berkata sesuatu pada sesi latihan di Padang Latihan Bank Simpanan Nasional, Bandar Baru Bangi. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil (kanan) berkata sesuatu pada sesi latihan di Padang Latihan Bank Simpanan Nasional, Bandar Baru Bangi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tercorot liga buat FELDA tertekan

KUANTAN: Semua pemain skuad The Fighters diminta tidak hilang fokus walaupun tanpa kehadiran kapten mereka, Hadin Azman yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut kiri, apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Pengendali FELDA United Mohd Nidzam Jamil berkata, perlawanan itu juga sangat penting bagi mereka terus mengutip mata sekali gus mengelak daripada terus menghuni tangga tercorot Liga Super.

"Tanpa kelibat Hadin malam esok, pastinya corak permainan kami sedikit terjejas dan saya meminta mereka (pemain) untuk kekal fokus dengan misi untuk merekodkan kemenangan di gelanggang sendiri,” kata Nidzam.

"Kita tahu pasukan Melaka United juga dalam prestasi terbaik ketika ini selepas menewaskan Kedah dalam perlawanan hujung minggu lalu.

"Walaupun kami dalam keadaan tertekan dengan kedudukan tercorot pada saingan Liga (Super), saya harap keputusan perlawanan malam esok memihak kepada kami."

Mengulas mengenai kesilapan dilakukan Jasazrin Jamaluddin pada perlawanan menentang Terengganu FC hingga membuka ruang kepada pasukan itu menjaringkan gol kedua 19 April lalu, Nidzam mahu pemain tengah itu melupakan perkara itu dan menumpukan sepenuhnya kepada aksi menentang Melaka United.

"Saya tidak salahkan Jasazrin dan dia pun sudah menyatakan rasa terkilan kerana kesilapan dilakukan itu mengakibatkan pasukan tewas.

"Dalam perlawanan sebelum ini, dia selalu mempamerkan aksi yang baik dan sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan... kita perlu melihat ke depan dan memperbaiki kelemahan yang masih ada, bukannya terus menyalahkan diri sendiri atau mencari salah sesiapa.

"Saya percaya dia dan pemain lain juga mahukan kemenangan, dan saya minta mereka pamerkan aksi terbaik di gelanggang sendiri untuk mengutip tiga mata penuh malam esok."

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X