Khamis, 25 April 2019 | 8:13pm
EZZRUL Ikmanizar Abd Rahman

'PFA jangan buat lupa'

 

KANGAR: Khabar mengenai status tunggakan gaji 18 bekas pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) menjadi tanda tanya selepas dua bulan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) digantung daripada menyertai sebarang liga anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Meskipun 15 daripada pemain berkenaan kini sudah ada majikan baharu, namun itu bukan bererti segalanya sudah boleh dilupakan begitu saja.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia masih tetap dengan pendirian bahawa pengurusan PFA mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas bayaran tunggakan gaji yang masih belum diterimanya.

"Walaupun PFA sudah tiada, pihak pengurusan harus bertanggungjawab di atas apa yang berlaku dan bukannya berdiam diri tanpa sebarang berita kerana masih ada antara kami yang sudah tidak bermain bola sepak.

"Malah sampai ke hari ini kami masih tidak tahu status terkini mengenai gaji tertunggak, mengenai saman ganti rugi PFA terhadap bekas Presiden juga senyap tanpa sebarang perkembangan terkini.

"Jangan fikir semua sudah boleh ditutup buku, walaupun kami sudah bersama Perlis FC tetapi hutang tetap perlu dibayar," katanya ketika ditemui di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, hari ini, dalam sesi latihannya bersama Perlis FC.

Pendapat sama turut dilontar bekas penjaga gawangnya, Muhammad Hafiz Abu Bakar, 27 apabila PFA seolah lepas tangan selepas 15 pemain itu kini bermain bersama Perlis FC yang dinaungi oleh Harini Sdn Bhd.

Katanya, meskipun Perlis FC tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kemelut melanda antara mereka, namun sudah ada segelintir peminat bola sepak di negeri itu mula menghakimi langkah awal dibawa Harini Sdn Bhd dalam membawa perubahan bola sepak di negeri itu.

"Sepatutnya PFA perlu tampil perjelaskan status terkini mengenai tunggakan gaji kami, tapi tiada sesiapa mahu berbuat demikian.

"Perlis FC berbeza daripada PFA, kami harap penyokong tidak terlalu menyalahkan pasukan baru kerana sepanjang berlatih di kem latihan, perbezaannya terlalu besar kerana pasukan ini mempunyai matlamatnya tersendiri," katanya. 

Sementara itu, pemangku Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, ketika dihubungi berkata, bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini.

"Dia (Ahmad Amizal) perlu bertanggungjawab kerana segala kerosakan berpunca daripada dia, malah sewaktu letak jawatan dulu pun dia tidak maklumkan kepada saya," katanya.

Berita Harian X