Sabtu, 27 April 2019 | 11:06am
PERTAHANAN England, Danny Rose. - Foto AFP

Rose terkejut hukuman UEFA

LAUSANNE, SWITZERLAND: Pertahanan England, Danny Rose mengakui ‘terkejut’ apabila Montenegro dikenakan hukuman ringan dengan hanya perlu beraksi satu perlawanan di stadium kosong susulan gelagat perkauman penyokong mereka ketika menentang England bulan lalu.

UEFA hari ini mengarahkan Montenegro beraksi di stadium kosong pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Kosovo Jun depan.

Hukuman itu diputuskan selepas Raheem Sterling, Rose dan Callum Hudson-Odoi menjadi sasaran serangan berbaur perkauman ketika membantu England menang 5-1 di Podgorica, Mac lalu.

Pada aksi itu, Sterling meraikan gol kelima dengan menadah telinga ke arah penyokong tuan rumah selepas terdengar sekumpulan penyokong mengejek dengan suara monyet ke arah pemain kulit hitam England.

"Saya rasa hukuman itu tidak setimpal untuk mengajar mereka pada masa depan, hanya satu perlawanan dan denda 20,000 euro, ia sedikit mengejutkan tetapi tidak banyak boleh saya lakukan,” kata Rose kepada Sky Sports. 

"Saya hanya harap tidak perlu bermain ke sana lagi, apa yang kita perlu alami sekarang ini amat memalukan dan saya perlu membiasakan diri dengannya.

"Saya tidak mahu lagi ke sana, tetapi jika saya terpaksa bemain di sana, saya akan sanggup. Tetapi ia bukan dalam senarai negara untuk saya kunjungi.”

Hukuman UEFA itu bermaksa Montenegro menentang Kosovo pada 7 Jun tanpa penyokong.

FA England menyambut baik keputusan UEFA itu dan berharap hukuman ke atas Montenegro dapat memberi mesej jelas betapa ‘perkauman tiada tempat dalam bola sepak mahupun dalam masyarakat seluruhnya’.

UEFA turut mendenda Persatuan Bolasepak Montenegrio sebanyak 20,000 euro (RM94,000) atas kesalahan gangguan penyokong, membakar bunga api, melontar objek dan menghalang laluan tangga stadium.

Susulan kejadian itu, Sterling mendesak UEFA mengenakan hukuman seperti itu bagi mengekang gelagat buruk itu.

Pengurus England, Gareth Southgate turut terkejut dengan hukuman ringan itu tetapi meminta isu perkauman dalam bidang sukan dibanteras menerusi pendidikan peringkat sekolah.

"Hukuman tidak berguna jika tidak diiringi dengan pendidikan yang boleh mengajar orang ramai,” kata Southgate.

Dalam pada itu Persatuan Bolasepak Montenegro berjanji mengharamkan penyokong mereka yang terbabit kesalahan itu daripada memasuki stadium sambil tegas menapis dan mengenal pasti pelaku terbabit dalam isu perkauman itu.

– AFP

Berita Harian X