Ahad, 28 April 2019 | 2:36pm
Hadin Azman. - Foto Roslin Mat Tahir

The Fighters rindu kudrat Hadin

KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil tidak menafikan ketiadaan kapten pasukan, Hadin Azman memberi kesan terhadap persembahan kelab itu.

Beliau berkata, tanpa perancang tengah itu yang mengalami kecederaan pada lutut kiri, jentera tengah itu sedikit longgar.

"Saya akui ketiadaan Hadin menyukarkan pasukan beraksi lebih baik terutama di bahagian tengah yang dapat disaksikan ketika kami seri 1-1 dengan Melaka United, kelmarin.

"Bukan sahaja sebagai kapten, malah dia (Hadin) berpengaruh dan menjadi contoh terbaik kepada pemain lain untuk membentuk pasukan lebih mantap.

"Sebab itu, kami terasa kehilangannya tetapi The Fighters tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Hadin. Pemain yang menggantikan tempatnya perlu mempamerkan komitmen tinggi," katanya.

Setakat ini, Hadin terlepas beraksi dalam dua perlawanan ketika kelab itu tewas 1-2 kepada Terengganu FC dan seri 1-1 dengan Melaka United.

Hadin dijangka sekali lagi disisihkan pada saingan suku akhir pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur Selasa ini.

Setakat ini, Hadin sudah menjaringkan empat gol, masing-masing tiga gol dalam Liga Super dan Piala FA (satu gol).

#kw Hadin, FELDA United, Liga Super

Berita Harian X