Ahad, 28 April 2019 | 11:11pm
PEMAIN pertahanan Pahang, Matthew Davies (kiri) diasak pemain JDT, Muhammad Safawi Rashid (kanan) pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

JDT sukar digugat, kekal di puncak liga

 

KUANTAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal di puncak Liga Super apabila terikat 1-1 berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.  

Biarpun beraksi dengan 10 pemain sepanjang 45 minit babak kedua, skuad Benjamin Mora berjaya mencuri satu mata di tempat lawan.  

Pada perlawanan iru, Harimau Selatan mengejutkan Tok Gajah seawal minit keempat apabila penyerang import, Gonzalo Cabrera menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima umpanan Leandro Velazquez.  

Tersentak jaringan itu, tuan rumah berusaha mendapatkan gol penyamaan dan peluang terbaik menerusi rembatan Saddil Ramdani tetapi bola sedikit melepasi palang JDT pada minit ke-14.  

Pada minit ke-35, tandukan pertahanan tinggi lampai Tok Gajah, Herold Goulon berpunca daripada sepakan percuma diambil Saddil menceriakan tuan rumah untuk gol penyamaan 1-1.  

Lima minit kemudian, Gabrera menjaringkan gol kedua tetapi jaringan itu dibatalkan kerana penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.  

Sebelum berakhir separuh masa pertama, pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan JDT, Mauricio Nascimento selepas mengutip kad kuning kedua.  

Bersambung babak kedua, JDT yang beraksi dengan 10 pemain berusaha melakukan asakan tetapi benteng tuan rumah tenang mengawal keadaan.   

Pahang yang memerlukan kemenangan gagal melepasi kubu Harimau Selatan yang lebih kepada bertahan dan kedudukan itu kekal hingga tamat permainan sekali gus skuad kendalian Dollah Salleh kekal di tangga kedua liga.

Berita Harian X