Selasa, 30 April 2019 | 7:31am
MAURICIO Pochettino mengingatkan Tottenham supaya jangan menjadikan ketiadaan Harry Kane dan Son Heung-min sebagai alasan untuk tidak mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama. - Foto Reuters

Spurs tak boleh bagi alasan - Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino mengingatkan Tottenham supaya jangan menjadikan ketiadaan Harry Kane dan Son Heung-min atau keletihan sebagai alasan untuk tidak mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Kane mengetuai senarai panjang pemain Spurs yang dipalit kecederaan termasuk Erik Lamela dan Harry Winks bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri menentang Ajax, awal pagi esok.

Penyerang sensasi Korea Selatan, Son terpaksa diketepikan susulan penggantungan.

Selepas melakar kejutan dengan menamatkan kempen kelab pilihan Manchester City di suku akhir, pengurus Spurs Pochettino menegaskan semangat berpasukan yang menjadi kekuatan skuad kendaliannya boleh mengatasi bakat yang dimiliki Ajax.

“Untuk berada di separuh akhir Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang saya impikan. Kamu perlu mencapai impian kamu, tanpa ada sebarang had,” kata Pochettino ketika sidang media, semalam menjelang aksi separuh akhir pertama Tottenham di pentas Eropah sejak 1962.

“Peluang untuk bermain di separuh akhir Liga Juara-Juara bagi Tottenham jarang berlaku. Kami berada dalam situasi yang tidak akan berubah dan kami perlu bersedia. 

“Mustahil untuk penat dan mustahil untuk tidak teruja untuk bermain. Saya cukup yakin dan tidak ragu yang kami akan mempunyai tenaga bagi mengharungi 90 minit perlawanan.”

Tanpa Kane, yang dijangka tidak akan beraksi lagi pada musim ini melainkan jika Spurs mara ke final pada 1 Jun, jumlah gol yang diledakkan Tottenham menurun sejak kekalahan 4-3 kepada City di suku akhir kedua Liga Juara-Juara.

Jaringan lewat Christian Eriksen mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Brighton, Rabu lalu yang menjadi satu-satunya gol yang diledakkan Spurs daripada tiga perlawanan terakhir termasuk kekalahan kepada West Ham, Sabtu lalu.

Ketiadaan Son juga bermakna kekuatan Pochettino di jentera serangan ‘dirompak’ dengan pengendali dari Argentina itu hanya mempunyai dua lagi pilihan iaitu Lucas Moura dan Fernando Llorente bagi menjana bahagian depan.

“Saya fikir apa yang mustahak ialah kami berada di mana kami berada ketika ini disebabkan oleh pasukan dan kami akan mengharunginya sebagai satu pasukan,” kata Pochettino.

“Saya tidak kisah siapa yang akan menjaringkan gol. Sentiasa menjadi isu apabila tidak semua pemain cergas, tetapi lebih daripada itu adalah semangat pasukan, kolektif.” - AFP

Berita Harian X