Rabu, 1 Mei 2019 | 4:31pm
BADDROL Bakhtiar pada aksi Piala FA Malaysia 2019 antara Kedah menentang PKNS FC, di Stadium Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Situasi harmoni jadikan Kedah lebih hebat

 

KUALA LUMPUR: Situasi harmoni dalam pasukan ketika latihan dan perlawanan menjadi kunci kepada prestasi hebat Kedah sepanjang kempen Piala FA musim ini termasuk menewaskan PKNS FC 3-1 pada peringkat suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, semalam.

Kini skuad Helang Merah sudah tiada masa menoleh ke belakang dan kelebihan jaringan di tempat lawan itu harus dipertahankan bagi merealisasikan impian mengulangi kejayaan edisi 2017.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata seluruh pasukan sudah pun 'tutup buku' apa yang berlaku musim sebelum ini.

"Saya lihat perbezaannya adalah kami lebih harmoni. Kami menikmati apa yang ditunjukkan jurulatih (Aidil Sharin Sahak) dalam latihan dan perlawanan. Kami bermain untuknya dan juga penyokong Kedah.

"Untuk yang tahun lepas, kami sudah tutup buku dan terus pandang ke depan. Bagi saya memang mengidamkan beraksi di final dan untuk itu saya nekad dan sasar untuk bawa Kedah ke pentas final," katanya.

Pada aksi semalam, Kedah berada di depan pada minit ke-12 menerusi penyerang dari Sepanyol, Fernando Rodriguez yang menyudahkan umpanan Farhan Roslan.

Dua lagi gol Helang Merah terhasil menerusi Jonatan Bauman (m-25 dan 45). Jaringan tunggal tuan rumah dihasilkan oleh Gabriel Guerra pada minit ke-64.

Keputusan itu menyaksikan Kedah selesa menghadapi aksi kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, 10 Mei ini.

"Kami bersyukur dapat menjaringkan gol dan kami perlu membuat persiapan lebih baik untuk hadapi perlawanan kedua. Sudah pasti kami tidak akan ambil muda kerana PKNS memiliki semangat yang kental," katanya.

Berita Harian X