Rabu, 1 Mei 2019 | 6:28pm

Cerezo Osaka mahu uji Luqman Hakim

 

KUALA LUMPUR: Reputasi penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin selepas dipilih dalam Kesebelasan Utama Terbaik Piala Sanix 2019 akhirnya berjaya menarik minat pasukan divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka.

Menurut sumber, Cerezo Osaka menjemput bekas penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 untuk menjalani sesi latihan bersama pasukan itu bermula Ogos ini.

Jelasnya, ada beberapa pasukan lain turut berminat menguji pemain muda negara itu dengan mereka sedang mendapatkan butiran lanjut mengenai mutu permainan pemain itu.

“Saya dimaklumkan beberapa pasukan khususnya pasukan dari divisyen dua (J2) berminat untuk melihat corak permainannya selepas tertarik dengan prestasi Luqman pada Piala Sanix 2019.

LUQMAN Hakim Shamsuddin
LUQMAN Hakim Shamsuddin

“Namun, Cerezo Osaka mungkin pilihan yang lebih baik memandangkan mereka beraksi di divisyen satu dan sudah tentu mereka akan memberikan pengalaman lebih baik kepada Luqman,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Luqman ketika dihubungi mengesahkan belum menerima makluman rasmi berhubung perkembangan terbabit.

“Sekiranya perkara ini betul, saya amat bersyukur dan akan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

“Buat masa ini, saya masih lagi fokus dengan latihan saya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD),” katanya.

 

 

Berita Harian X