Rabu, 1 Mei 2019 | 9:54pm

PFA lantik presiden baharu

KANGAR: Setiausaha sulit Ahli Parlimen Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim), Zainuddin Osman dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang baharu.

Zainuddin, 64, yang juga bekas pemain bola sepak Perlis era 1970-an dan 80-an, dipilih memegang jawatan itu berkuatkuasa hari ini bagi tempoh 2019 hingga 2021 menerusi Kongres Luar Biasa (EGM), dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif baharu PFA yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Perlis di sini.

Sebelum ini jawatan tersebut disandang Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafaie, yang kemudian digugurkan daripada jawatan itu berikutan kemelut yang melanda PFA, yang menyaksikan Timbalan Presiden sebelum ini Mohd Abdul Karim Mansor Ahmad Khan menjadi pemangku Presiden.

Ketika ditemui pemberita selepas EGM itu, Zainuddin menyatakan keazaman untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Perlis, dengan menumpukan kepada pembangunan bola sepak negeri terlebih dahulu.

“Saya nak fokuskan kepada pembangunan bola sepak dulu. Lepas tu SUKMA (Sukan Malaysia). Selepas setahun, dua tahun barulah kita akan kembali kepada Liga Malaysia,” kata Zainuddin.

Zainuddin berkata PFA juga akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat ini bagi membincangkan isu-isu berkaitan PFA, termasuk kewangan dan tunggakan gaji bekas pemain, selain berusaha untuk memujuk PFA diterima semula dalam saingan utama bola sepak negara.

Katanya dia turut mengalu-alukan bantuan daripada sesiapa sahaja yang ingin membantu PFA sekali gus menaikkan kembali nama skuad Singa Utara.

Mengulas mengenai keadaan kewangan PFA, Zainuddin akan melihat semula dokumen-dokumen dan kewangan PFA dan berusaha mencari dana terlebih dahulu.

“Kita nak lihat dahulu dokumen oleh pengurusan terdahulu. Selepas kita berjumpa dengan FAM barulah kita muktamadkan apa yang perlu,” katanya.

 

Barisan Jawatankuasa Eksekutif PFA sesi 2019-2021:

Presiden:  Zainuddin Osman

Timbalan Presiden: Zamri Ibrahim

Naib Presiden: 1- Afizal Zain Othman

                         2- Tan Boon Hun

                         3- Datuk Ismail Osman.

- BERNAMA

Berita Harian X