Jumaat, 3 Mei 2019 | 3:53pm
Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Owee Ah Chun
Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Owee Ah Chun

Luka lama masih berbekas -Irfan

KUALA TERENGGANU: “Luka lama masih berbekas”. Itu luahan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim yang menuntut anak buahnya bangkit melakar kemenangan bertemu PKNP FC pada saingan Liga Super pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak malam esok.

Irfan Bakti yang terpaksa berdepan mimpi ngeri dimalukan 1-2 di laman sendiri pada aksi pusingan pertama April lalu turut meminta pemainnya mempamerkan disiplin tinggi serta beraksi sebagai satu unit yang padu.

"Kekalahan kita kepada PKNP di sini (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) April lalu cukup mengecewakan saya, ini kerana bukan lawan itu bermain bagus atau sebaliknya tetapi kita tewas kepada fizikal mereka.

"Jadi untuk aksi malam esok, kita tiada pilihan kecuali mengutip mata dan melupakan seketika aksi Piala FA sebaliknya pemain harus menumpukan aksi bertemu skuad itu nanti," ujar Irfan.

Pada aksi pusingan pertama pada 6 April, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim berjaya mengejutkan skuad Penyu hasil dua jaringan pemain import dari Brazil, Giancarlo Rodrigues manakala gol saguhati TFC dijaringkan Ahmad Syamim Yahya.

Mengulas lanjut, Irfan menuntut pemainnya lebih yakin ketika beraksi dan perlu menepis tekanan apabila diasak.

"Jika corak permainan sama ditampilkan pemain ketika menundukkan Pahang pada Rabu lalu pada aksi suku akhir pertama Piala FA, peluang kami mengutip mata cerah.

"Harus diingat, semua pasukan yang beraksi dalam saingan liga memiliki kekuatan serta kelebihan tersendiri tetapi jika pemain yakin dan selesa menguasai bola, kita mampu mengejutkan lawan di laman mereka," kata Irfan Bakti.

#kw timur, tfc, pknp pc, liga super

Berita Harian X