Sabtu, 4 Mei 2019 | 1:14pm
Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak (kiri, berdiri) bersama pemain Kedah ketika menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim. - Foto Amran Hamid

Fokus PKNS pula: Aidil Sharin

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak mahu pemain-pemainnya melupakan kemenangan 5-2 ke atas Kuala Lumpur semalam dan fokus kepada persiapan untuk perlawanan Piala FA bertemu PKNS FC pada 10 Mei nanti. 

"Saya tidak menjangkakan keputusan gol begini kerana sebelum perlawanan Kuala Lumpur memberi tentangan yang kuat dan kita menghormati pasukan mereka.,” kata Aidil.

"Kuala Lumpur tetap memberi tentangan yang hebat kepada kami, dan walaupun kami mendapat lima gol apa yang penting adalah melupakan perlawanan ini kerana kami mahu sentiasa bersikap merendah diri dan mahu melihat ke depan untuk persiapan perlawanan seterusnya dalam Piala FA bertemu PKNS FC.

"Saya lihat semua pemain berjaya melakukan tugas dengan baik. Menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan bukan sesuatu yang mudah dan pada perlawanan ini semua pemain menunjukkan kesungguhan, komitmen, dan disiplin yang tinggi."

Aidil bagaimanapun terkilan dengan dua gol yang dijaringkan barisan serangan Kuala Lumpur dengan mudah. 

"Kami mendapat lima gol namun saya tidak boleh berpuas hati dengan dua jaringan bolos pada malam ini kerana kita tidak sepatutnya bolos mudah.

"Tapi itulah bolasepak dan apa yang lebih penting saya melihat bagaimana kami bangkit semula kerana tidak mudah untuk kembali bangkit selepas melakukan kesilapan,” katanya.

Aidil turut mengakui beberapa pemainnya seperti Farhan Roslan, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Renan Alves, Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman dan lain-lain tetap memberi sumbangan yang baik kepada pasukan walaupun mereka masih mengalami kecederaan daripada perlawanan lalu.

Berita Harian X