Selasa, 7 Mei 2019 | 5:59pm
PEMAIN tengah FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin. - Foto Roslin Mat Tahir.
PEMAIN tengah FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin. - Foto Roslin Mat Tahir.

Jasazrin rehat 3 minggu

 

KUANTAN: Pemain tengah FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin tidak dapat membantu pasukannya pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pemain kelahiran Batu Pahat, Johor itu disahkan mengalami kecederaan hamstring dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum boleh kembali menjalani latihan.

"Ini berita yang sangat membuatkan saya rasa terkilan memandangkan perlawanan menentang Kuala Lumpur amat penting bagi pasukan kami.

"Selain aksi menentang skuad ibu kota, saya juga bakal terlepas tiga lagi perlawanan lain membabitkan Liga Super, antaranya bertemu Melaka United, Terengganu FC dan Pahang," katanya.

Jasazrin berkata, dia mula mengalami kecederaan berkenaan ketika beraksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu, dan hanya dapat beraksi selama 30 minit dalam perlawanan itu.

Ketika ditanya mengenai peluang The Fighters merebut slot separuh akhir Piala FA, Jasazrin berkata, kelebihan jaringan di tempat lawan dan peluang beraksi di laman sendiri dilihat memberi kelebihan kepada mereka.

"Walaupun kita kehilangan tiga pemain berpengalaman untuk aksi hujung minggu ini, saya tidak nampak ketiadaan Hadin Azman, Christie (Jayaseelan) dan Daniel Amier Norhisham akan memberi kesan terhadap prestasi secara keseluruhan pasukan.

"Kita ada kelebihan dan perlu gunakan (kelebihan) sebaik mungkin, lagipun kita mempunyai kelebihan jaringan tempat lawan dan kalau kita dapat pamer aksi konsisten serta barisan pertahanan beraksi dengan baik, sudah pasti kita boleh mara ke pusingan seterusnya," katanya.

Pada suku akhir 30 April lalu, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil berjaya mengikat Kuala Lumpur 3-3.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X