X
Selasa, 7 Mei 2019 | 10:50pm
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

FAM jumpa KDN bincang program naturalisasi

 

KUALA LUMPUR: Program naturalisasi pemain kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat berada pada landasan tepat selepas badan induk itu sudah bertemu Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Delegasi FAM diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan kunjungan hormat bertemu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perancangan masa depan FAM menerusi peta hala tuju F:30 yang turut membabitkan proses naturalisasi pemain asing dan juga pemain warisan.

Dalam pertemuan di Putrajaya itu, Hamidin menyerahkan dokumen F:30 kepada Muhyiddin serta kertas kerja projek naturalisasi bagi merealisasikan agenda yang sememangnya menjadi perancangan Hamidin sejurus dipilih sebagai Presiden, tahun lalu.

“Kertas kerja projek naturalisasi itu mengandungi syarat dan status Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), polisi Kerajaan Persekutuan, kontrak dan yuran perpindahan, kes-kes contoh, maklum balas daripada pemegang taruh serta peraturan pertandingan tempatan.

“Projek naturalisasi ini bukan agenda utama FAM tetapi ia adalah antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program-program pembangunan sedia ada.

“Kami mengambil kesempatan membincangkan proses naturalisasi kepada Tan Sri memandangkan Tan Sri mempelopori projek menaturalisasikan atlet seperti Yuan Yufang (olahraga), Irina Maharani (menembak) dan Hidayat Hamidon (angkat berat) untuk Sukan Komanwel 1998.

“Pada masa yang sama FAM membincangkan hala tuju dan perancangan strategik dalam sesi dua hala dengan Tan Sri,” kata Hamidin.

Berita Harian X