Khamis, 9 Mei 2019 | 9:46am
LUCAS Moura. - Foto Reuters

Disingkir PSG, idola Spurs

PARIS: Disisihkan Paris Saint-Germain (PSG) selepas kehadiran Neymar, Lucas Moura mengemudi Tottenham untuk mara ke perlawanan yang gergasi Perancis itu hanya mampu impikan iaitu final Liga Juara-Juara.

Ketika peluang Spurs untuk melangkah tambah sukar selepas ketinggalan 3-0 secara agregat pada aksi di Arena Johan Cruyff, Lucas menampilkan salah satu permainan terbaiknya dengan meledak hatrik bagi mengesahkan kemaraan kelab Inggeris itu.

Begitupun kurang 18 bulan lalu, emosi pemain kelahiran Brazil itu mungkin berada di tahap paling rendah selepas dibekukan PSG sekali pun menempuh tempoh lima tahun penuh kejayaan bersama kelab itu.

Mauricio Pochettino dan Tottenham memberikannya ‘penawar’ pada Januari 2018 dan Lucas hampir menunaikan janjinya untuk membawa kelab itu ke puncak ketika dia mula menyarung jersi mereka.

“Saya fikir pasukan ini amat, amat kuat. Kami boleh memenangi banyak piala dan mengapa tidak Liga Juara-Juara,” kata Lucas ketika menyertai Spurs.

Kurang setahun kemudian, ketajaman Lucas kini membantu Spurs meletakkan kaki selangkah untuk bergelar juara Eropah dengan dia kini menjadi pemain kelima menjaringkan hatrik di separuh akhir Liga Juara-Juara mengikuti jejak Alessandro Del Piero, Ivica Olic, Robert Lewandowski dan Cristiano Ronaldo.

“Bola sepak memberikan kami detik seperti ini yang kami tidak pernah bayangkan,” kata Lucas. “Kami perlu menikmatinya. Lihatlah saya, ia adalah detik terbaik dalam hidup saya, karier saya.

“Mustahil untuk menjelaskan apa yang saya rasa. Saya amat, amat gembira dan berbangga dengan rakan sepasukan saya. Kami sentiasa mempercayainya, yang ia bukan mustahil.

“Kami memberikan segala-galanya dan layak untuk mendapat kegembiraan ini. Kami adalah satu keluarga. Mustahil untuk menggambarkannya.”

Sekali pun dilabel memiliki bakat setaraf dengan Neymar ketika menyertai PSG, Lucas meninggalkan Perancis tanpa mencapai potensi terbaiknya tetapi situasi itu tidak menjatuhkan moralnya.

“Ia bukannya tindak balas. Kritikan sebahagian daripada bola sepak. Saya tahu yang saya boleh bermain dengan kelab besar, yang saya berupaya untuk bermain di separuh akhir Liga Juara-Juara,” katanya. - AFP

Berita Harian X