Sabtu, 11 Mei 2019 | 1:35pm
PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto Rasul Azli Samad

Aidil puji semangat tinggi Kedah

ALOR SETAR: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap pencapaian yang ditunjukkan pemainnya yang mengikat PKNS FC 1-1 (agregat 4-2) sebagai satu kejayaan yang tidak mudah dicapai tanpa kerjasama dan semangat yang tinggi untuk melihat Kedah ke separuh akhir Piala FA musim ini. 

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemain dan kami bersyukur kerana akhirnya berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala FA kali ini."

"Pemain saya bertindak dengan baik walaupun tidak memenangi perlawanan ini, kerana kami tahu PKNS adalah pasukan yang bagus dan memilki disiplin tinggi dalam bertahan dan menyerang dan kita menghormati keupayaan mereka dengan percaturan yang dilakukan oleh ketua jurulatih Datuk K Rajagopal."

"Sebelum perlawanan ini kami juga tahu bakal menghadapi perlawanan yang sengit tambahan pula suasana beraksi dalam bulan puasa namun itu tidak boleh di letakkan sebagai alasan kerana kedua-dua pasukan juga melalui perkara yang sama." 

Aidil mengakui skuadnya tidak memberi saingan pada awal perlawanan ini dan hanya berjaya bangkit untuk beraksi dengan lebih baik selepas 15 minit perlawanan melalui beberapa peluang namun tidak bernasib baik untuk menghasilkan gol awal.

Jurulatih kelahiran Singapura berusia 41 tahun ini juga melahirkan rasa puas hati dengan prestasi jentera pertahanan Kedah yang turun tanpa pertahanan import Renan Alves yang  menjalani pengantungan kad kuning pada perlawanan ini. 

"Saya lihat barisan pertahanan kami Khairul Helmi, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Azmer Yusoff  dan juga semua pemain memainkan peranan yang baik dalam mengawal benteng kerana bukan mudah untuk menyekat serangan bahaya daripada penyerang PKNS yang diterajui Kpah Sherman dan kita hanya bolos melalui jaringan sendiri."

"Saya juga gembira dengan kembalinya pemain Azammuddin Akil yang berjaya beraksi semula selepas beberapa bulan menjalani pemulihan dan ianya bukan perkara yang mudah namun kesungguhan beliau dan dibantu kerja keras oleh staf kecergasan membolehkan beliau kembali beraksi dan perkara ini akan menjadi contoh kepada pemain lain."

"Berkaitan Anmar Al Mubaraki yang turut megalami kecederaan, kita perlu menunggu satu lagi laporan perubatan untuk mengetahui perkara selanjutnya, tetapi kita boleh lihat tahap pemulihan kecergasannya kini berjalan dengan baik."

Aidil juga berbangga kerana walaupun Kedah merupakan satu pasukan yang berwajah baru pada musim ini namun berjaya menunjukkan perkembangan yang baik dengan preatasi semasa. 

"Jangan kita lupa bahawa walaupun Kedah dianggap satu nama yang besar, namun kami merupakan satu pasukan yang baharu sahaja dibentuk dalam lima bulan pada  musim ini dan saya bersyukur pemain menunjukkan kesungguhan serta semangat berpasukan hasil ramuan daripada jurulatih kepada pemain yang menguatkan keupayaan pasukan. "

Aidil juga menegaskan beliau tidak mahu menyentuh mengenai sebarang pertukaran pemain pada tempoh jendela perpindahan yang sudah dibuka awal bulan Mei ini dan buat masa ini beliau mahu meraikan kejayaan Kedah seketika sebelum kembali fokus untuk perlawanan seterusnya berdepan Selangor Rabu depan dalam saingan Liga Super. 

Berita Harian X