Ahad, 12 Mei 2019 | 1:08pm
SETIAUSAHA Agung KLFA, Nokman Mustaffa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SETIAUSAHA Agung KLFA, Nokman Mustaffa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KLFA enggan patuhi arahan Zaiton

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak akan tunduk dengan arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) supaya mengadakan kongres ke-31 dan pemilihan barisan kepimpinan baharu sebelum atau pada 31 Mei ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan pihaknya merancang untuk mengadakan kongres selepas Aidilfitri bulan depan dan pemilihan barisan kepimpinan baharu dijangka diadakan pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, KLFA tetap berpegang kepada statut persatuan bahawa pihak ketiga tiada hak untuk campur tangan dalam KLFA.

"Kalau mereka (PJS) kacau (campur tangan) lagi, kami akan guna peguam dan paling tinggi kami pergi (buat aduan) kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Kami tak peduli, apa nak jadi-jadilah... Kami sudah dapatkan pandangan daripada peguam dan mereka juga sedia membantu. Kenapa nak kena ikut PJS? Kami kena ikut (statut) sendiri.

"Kalau nak gantung pun gantunglah, yang penting sekarang ini kami akan lawan. Sebenarnya campur tangan mereka menyebabkan kami tidak boleh jalankan mesyuarat.

"Sepatutnya mereka bagi kami selesai dulu (masalah dalaman). Saya nak soal satu saja, kenapa kes Selangor diam? kenapa bila Selangor pecat 43 ahli gabungan (PJS) tak ambil tindakan, tapi kenapa sibuk dengan KLFA," katanya kepada BH Sukan.

Tempoh 14 hari Kongres ke-31 dan pemilihan barisan kepimpinan baharu KLFA sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu, tetapi ditangguhkan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman susulan kemelut mengenai pencalonan bagi merebut jawatan pada pemilihan berkenaan.

Selain itu, Nokman turut mengesahkan KLFA sudah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada sekurang-kurangnya 12 ahli gabungan yang didakwa melanggar statut persatuan dengan membuat aduan kepada PJS.

"Mereka (ahli gabungan) kena jawab surat itu sebab jika ikut statut semua perkara dalaman perlu dirujuk kepada KLFA dulu, selepas itu baru ke PJS atau FAM.

"Sekarang ini mereka tak hantar kepada KLFA, mereka terus ke FAM dan PJS, itu satu kesalahan dan mereka tak hormati statut. Kalau diikutkan mereka boleh digantung.

"Kami sudah hantar surat minggu lalu dan mereka kena jawab dalam tempoh 14 hari. Jika tiada jawapan, kami akan ambil tindakan," katanya.

Berita Harian X