Isnin, 13 Mei 2019 | 9:45am
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun

FAM ingatkan KLFA jangan derhaka

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dinasihatkan tidak melawan arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) supaya mengadakan kongres ke-31 dan pemilihan barisan kepimpinan baharu sebelum atau pada 31 Mei ini.

KLFA juga diminta memanfaatkan masa yang ada untuk mengatur pertemuan dengan PJS bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya ada aspek yang perlu dibincangkan semula.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, dalam hal seperti ini PJS memang memiliki kuasa dan keputusan itu dibuat selepas menilai pelbagai aspek termasuk statut KLFA itu sendiri.

Arahan itu dibuat selepas PJS mengambil kira statut KLFA sendiri malah mereka turut meminta pendapat daripada pihak kami.

“Kesannya pasti akan merugikan KLFA itu sendiri. Jika ada apa-apa yang mereka tidak puas hati, mereka (KLFA) tidak boleh hanya duduk diam dan hanya beri kenyataan di media. 

“Gunakan masa yang ada sekarang untuk adakan pertemuan. Mereka boleh jumpa PJS untuk berbincang permasalahan yang sedang dihadapi dan ia akan dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi.

BH Sukan kelmarin melaporkan KLFA tidak akan tunduk dengan arahan PJS supaya mengadakan kongres dan pemilihan barisan kepimpinan baharu sebelum atau pada 31 Mei ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan pihaknya merancang mengadakan kongres bulan depan dan pemilihan barisan kepimpinan baharu dijangka diadakan hujung tahun ini.

“Apapun, FAM sedia membantu sekiranya KLFA mahukan kami jadi perantara. Paling penting sekarang, mereka kena bertindak dan memanfaatkan masa yang masih ada untuk mematuhi arahan PJS itu,” kata Stuart.

Berita Harian X