Selasa, 14 Mei 2019 | 9:44pm
FLAVIO Beck Junior

Giliran Junior tinggalkan TRW

KOTA BHARU: Skuad Kelantan terus ditimpa masalah apabila pemain tengah import kelahiran Brazil, Flavio Beck Junior sah meninggalkan pasukan itu sejak beberapa hari lalu dengan menyertai kelab Bhayangkara FC dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan pihaknya sudah menamatkan kontrak pemain berkenaan dengan persetujuan bersama.

"Dia (Junior) mendapat tawaran gaji di sana lebih baik daripada tawaran yang kami berikan kepadanya.

Kami ucapkan terima kasih kepada Junior atas khidmat walaupun tidak sampai semusim bersama pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga M)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Junior menjadi pemain kedua pasukan The Red Warriors (TRW) meninggalkan pasukan itu selepas pemain import dari Uruguay  Raul Tarragona berbuat demikian Mac lalu dan mereka kini berharap kepada prestasi seorang lagi pemain import dari Afghanistan, Mustafa Zazai.

Sementara itu, Junior melalui laman Instagram miliknya berkongsi kegembiraan bersama peminatnya kerana dapat kembali beraksi di Indonesia.

Dia pernah beraksi bersama pasukan Borneo FC musim 2016-17.

"Sangat gembira dapat kembali semula ke Indonesia dan kali ini menyertai Kelab Bhayangkara FC. Terima kasih bekas rakan sepasukan dalam pasukan Kelantan  dan selamat berjaya dalam liga," katanya.

Sebagai rekod, Junior menyertai Kelantan selepas menyertai sesi pemilihan awal musim di bawah kendalian bekas Pengarah Teknikal Kelantan, Peter Jorg Steinebrunner.

Berikutan Kelantan mengalami krisis kewangan, Junior membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama. Dia muncul  penjaring terbanyak TRW musim ini dengan jaringan empat gol. - BERNAMA

Berita Harian X