Khamis, 16 Mei 2019 | 12:03am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini. - Foto BERNAMA

Jadikan Akademi Aspire Qatar contoh - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah memasang angan-angan untuk melihat skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2030 dengan menjadikan model bola sepak Qatar sebagai contoh.

Katanya, keyakinannya itu berlandaskan pada kemampuan Qatar muncul juara Piala Asia 2019 menerusi idea memperkenalkan Akademi Aspire yang mengesan dan membangunkan pemain berbakat dari seluruh dunia untuk dijadikan pemain naturalisasi.

Justeru, mengambil inspirasi berkenaan Syed Saddiq percaya konsep yang sama mungkin akan diguna pakai oleh Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam masa terdekat.

"Kalau kita lihat Akademi Aspire di Qatar sudah berjaya melahirkan pemain terbaik dan ia menjadi antara faktor utama Qatar menang Piala Asia 2019 kerana kebanyakan pemain adalah produk akademi terbabit.

"Saya sudah cadangkan pada AMD, kita nak ikut apa yang Qatar lakukan. Kita tidak boleh mengambil pemain naturalisasi yang sudah menjangkaui usia 20 hingga 25 tahun tetapi sebaliknya kita kena bermula dari awal.

"Sebagai contoh Akademi Aspire mengesan bakat muda seawal usia 12 dan 13 tahun dari serata dunia dan tempatkan mereka di sana yang mana akan ada campuran pemain tempatan dan antarabangsa dengan mereka dibentuk menggunakan acuan DNA yang sama.

"Dan bagi pemain yang menonjol sebaik menamatkan latihan di akademi berkenaan, mereka ini akan dijadikan pemain naturalisasi untuk mewakili Qatar dan perkara sama kita hendak buat di Malaysia," katanya selepas ditemui pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Katanya, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan badan induk bola sepak tempatan itu.

"Saya sudah pun berbincang perkara ini dengan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan beliau bersetuju. Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan kita sehaluan dalam memastikan Malaysia akan masuk FIFA 2030 Piala Dunia," katanya.

Akademi Aspire diiktiraf sebagai salah satu yang terbaik di dunia dalam aspek mengesan dan memilih bakat selain pemain itu perlu menjalani latihan, pertandingan dan penilaian yang ketat.

Mereka membangunkan pemain seawal usia 6 hingga 11 tahun dari serata dunia termasuk pemain tempatan Qatar sendiri. 

Daripada usia 8 tahun pemain yang berbakat dikenal pasti untuk menyertai akademi sokongan Aspire untuk mempersiapkan diri menyertai akademi utama.

Apabila pemain diserap masuk ke akademi pada usia 12 tahun, mereka akan melalui enam generasi skuad, bermula pada gred 7 dan berakhir pada gred 12 sekali gus menamatkan zaman persekolahan tinggi sebelum dijadikan pemain naturalisasi Qatar.

Berita Harian X