Khamis, 16 Mei 2019 | 12:06am
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan lawatan rasmi ke akademi sukan serba canggih dan terkenal di dunia Akademi Aspire di Doha, Qatar, hari ini. - Foto ihsan Facebook FAM

FAM buat lawatan ke Akademi Aspire

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan lawatan rasmi ke akademi sukan serba canggih dan terkenal di dunia Akademi Aspire di Doha, Qatar, hari ini.

Apa yang menariknya lawatan FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin dilakukan selaras dengan impian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu melihat skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2030.

Malah, Syed Saddiq dalam kenyataan, hari ini menjelaskan keyakinan yang disuarakannya selepas mengambil kira kejayaan Qatar muncul juara Piala Asia 2019 menerusi idea memperkenalkan Akademi Aspire.

Hamidin pula menjelaskan sudah bertemu dengan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Saoud Al-Mohannadi untuk membincangkan kerjasama dengan Akademi Aspire.

"Ia bagi membantu FAM menghantar pasukan remaja B-13 hingga B-18 kita terutama pasukan elit remaja negara di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang untuk datang menjalani kem latihan di akademi ini secara lebih kerap.

"Akademi Aspire ini sememangnya diakui mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita," kata Hamidin.

Kenyataan Hamidin itu dilihat selari dengan keinginan Syed Saddiq yang menjadikan kejayaan Qatar sebagai inspirasi selain percaya konsep Akademi Aspire mungkin akan diguna pakai oleh AMD dalam masa terdekat.

Pada lawatan itu, Hamidin disambut oleh Pengarah Prestasi dan Sains Bola Sepak Akademi Aspire, Valter Di Salvo yang juga bekas jurulatih kecergasan Lazio, Real Madrid dan Manchester United.

Hamidin dibawa melawat kemudahan di Aspire Football yang siap sepenuhnya dibina pada 2017 merangkumi sebanyak 15 padang bola sepak dan dua padang rumput tiruan termasuk juga padang tertutup.

Untuk rekod, Akademi Aspire ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.

Lawatan ke Akademi Aspire itu adalah sebahagian program kunjungan hormat Hamidin sebagai Presiden FAM dan Exco AFC yang menerima jemputan peribadi daripada Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.

 

 

Berita Harian X